Volvo Car Malaysia mengumumkan harga kenderaan elektrik penuh (EV) pertamanya menerusi model XC40 Recharge Pure Electric yang dijual bermula RM262,459.75.
Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump berkata, pelancaran itu menjadi asas kepada syarikatnya untuk tampil sebagai jenama kereta elektrik mewah terkemuka di negara ini.
Lancar EV baharu setiap tahun
Menurutnya, bagi menyokong hasrat itu, kami komited untuk melancarkan kenderaan elektrik baharu setiap tahun dalam tempoh 5 tahun akan datang.
“Selain itu, kami juga mempunyai keupayaan untuk memasang kenderaan elektrik penuh kami sendiri untuk pasaran tempatan dan ASEAN.
“Ini adalah selaras dengan cita-cita global Volvo Cars – sumbangan 50% daripada barisan elektrik penuh menjelang 2025 dan sebuah syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030,” katanya.
Pelancaran XC40 Recharge Pure Electric juga menjadi detik penting bagi Volvo Car Malaysia kerana ia menjadi jenama kereta mewah pertama di negara ini yang membuat pemasangan tempatan EV dalam CKD.
Kenderaan elektrik penuh pasang di Malaysia
Dengan keupayaannya untuk memasang kenderaan elektrik penuh (EV) melalui kilang pemasangan tempatannya sendiri, Volvo Car Malaysia tidak lama lagi akan turut mengeksport kenderaan elektrik sepenuhnya ke pasaran di rantau ASEAN.
Berdasarkan SUV premium kompak, XC40 Recharge Pure Electric menampilkan penjana kuasa pacuan semua roda elektrik sepenuhnya yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 418 km dengan sekali cas.
XC40 Recharge Pure Electric boleh didapati dalam lima pilihan warna – Black Stone, Crystal White Pearl, Denim Blue, Glacier Silver dan Sage Green.
Pelanggan yang membuat tempahan secara dalam talian dijangka akan mula menerima kenderaan mereka bermula penghujung April 2022 dan seterusnya, untuk semua lokasi di seluruh Malaysia.
Tempahan bermula malam ini
Bersama-sama dengan pengumuman harga XC40 Recharge Pure Electric hari ini, Volvo Car Malaysia turut memperkenalkan ciri-ciri harga selaras tanpa kerumitan (hassle-free) yang merangkumi:
- kabel pengecas kereta
- pakej perkhidmatan (tahun/km)
- waranti kenderaan selama 5 tahun
- waranti bateri HV selama 8 tahun
- bantuan tepi jalan selama 5 tahun
Mulai malam ini, pelanggan boleh membuat tempahan secara dalam talian di laman sesawang www.volvocars.com/my.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar