Baru-baru ini tular beberapa imej yang menunjukkan warga Singapura mengisi kenderaan menggunakan petrol bersubsidi RON95.
Semalam lain pula kisahnya apabila satu video tular menunjukkan beberapa kenderaan mewah dengan nombor pendaftaran Singapura memandu secara merbahaya di simpang lampu isyarat Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi.
Aksi tersebut dirakam oleh orang awam dan dikongsi di Facebook. Susulan rakaman video tersebut, pihak polis BSPT membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sedang mengenalpasti pemandu kenderaan yang terlibat.
Menerusi video berdurasi 41 saat itu, dapat dilihat sebuah kereta BMW berwarna emas memecut laju dan memotong kenderaan secara rapat yang kemudian diikuti beberapa buah kenderaan lain di belakang.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Selain itu, pihak polis menasihati orang ramai memandu tidak melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar