Proton memulakan perjalanan automotif menerusi kerjasama dengan Mitsubishi Motors yang mana model pertama diperkenalkan adalah Proton Saga pada 1985.
Barisan produk di awal kemunculan Proton merupakan versi rebadge Mitsubishi. Justeru itu, ada antara pemilik mengubah kenderaan mereka misalnya Wira dijadikan Lancer.
REKA BENTUK DALAMAN
Setelah lama menjalin kerjasama dengan pengeluar Jepun itu, pada 1996 Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia mencabar Proton membangunkan kenderaan sendiri.
Syarikat nasional tempatan itu melabur hampir RM400 juta bagi membangunkan fasiliti penyelidikan dan pembangunan dan tahun yang sama juga Proton membeli saham Lotus Cars pada harga RM81 juta.
Proton mengorak langkah membangunkan produk secara dalaman selepas mendapat bantuan bekalan komponen dan teknologi daripada Mitsubishi di awal penubuhan syarikat.
Proton mengambil masa 54 bulan membangunkan Saga manakala empat tahun membangunkan Wira.
KEMUNCULAN WAJA
Sementara, Proton Waja dibangunkan dalam tempoh tiga tahun yang mana sedan itu pertama kali muncul pada awal millenium. Pejam celik Proton Waja sudah mencapai usia 22 tahun sejak diperkenalkan.
Ketika pengenalan sedan itu, Waja diterima dengan baik menerusi rekaan kontemporari dan sedikit berkotak. Walaupun luarannya made in Malaysia tetapi di bawah hud masih menggunakan teknologi Mitsubishi.
Sedan itu menggunakan enjin 1.6-liter 4G18 Mitsubishi dan berkongsi platform casis dengan Mitsubishi Carisma. Bahkan pengendalian Waja mendapat pujian yang sering dijuluki pada produk Proton iaitu talaan Lotus.
Cuma terdapat beberapa isu, terutamanya kualiti dan ergonomik kereta serta Waja yang terlalu berat sehingga memberi kesan kepada penggunaan minyak. Selain itu, isu yang sering dikaitkan dengan Proton iaitu masalah cermin.
Disebalik kritikan berkenaan, Proton Waja terjual sebanyak 292,556 antara 2000 dan 2012. Namun begitu, dalam tempoh tersebut tahukah anda Proton pernah memasarkan Waja ke Iran untuk dijadikan teksi.
EKSPORT KE IRAN
Sebanyak 5000 Waja dieskport ke Iran antara 2007 hingga 2009. Teksi berkenaan disembur dengan cat khas hijau pisang di kilang Proton Shah Alam sebelum dieksport.
Model berkenaan dieksport menerusi Zagross Khodro yang mana dipasarkan menerusi Proton Impian (Waja) iaitu nama sama digunakan dalam pasaran eksport lain seperti United Kingdom.
Ketika itu, kerajaan Iran dalam usaha memperbaharui barisan teksi di Tehran. Negara berkenaan memiliki 70,000 unit teksi yang mana kebanyakannya berusia dan teknologi ketinggalan zaman.
Difahamkan, kerajaan merancang menggantikan sebahagian besar teksi sedia ada dan meningkatkan jumlah teksi di jalan raya kepada 100,000 unit. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif pembaharuan pengangkutan awam bandar bernilai AS200 juta di Tehran.
Setelah 15 tahun, tidak diketahui nasib teksi Waja berkenaan. Adakah masih wujud atau sebaliknya.
Sepanjang 12 tahun pengeluaran, Waja dijual dengan tiga enjin berbeza iaitu 1.6 4G18, 1.6 CamPro dan kemudiannya CPS serta Renault- enjin 1.8 liter. Reka bentuk luaran keseluruhan kekal sama namun dengan beberapa versi facelift.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar