Singapura tidak berkompromi dengan kenderaan asing (Malaysia) yang tidak mematuhi piawaian pengeluaran asap atau bunyi bising kenderaan dan pelbagai kesalahan trafik lain.
Sebanyak 12 pemilik kenderaan asing ditahan pada Selasa (12 April) dalam satu operasi yang menyasarkan kenderaan asing berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Operasi berkenaan melibatkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguatkuasa Pengangkutan Darat (LTA).
Penguatkuasaan itu dijalankan secara tetap dan ‘ad-hoc’ terhadap pemandu bersalah yang mana kenderaan asing perlu mematuhi piawaian pelepasan asap dan bunyi Singapura di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Alam Sekitar dan Pengurusan (Asap kenderaan).
Daripada 12 yang ditangkap, lapan didapati gagal mematuhi keperluan teknikal dan pengaturan, seperti mempunyai plat lesen yang tidak betul, tiga untuk bunyi yang berlebihan dan satu pelepasan asap.
Di samping itu, NEA meningkatkan ujian pelepasan motosikal asing di pusat pemeriksaan sejak 1 April, apabila sempadan antara Singapura dan Malaysia dibuka.
Selain itu, polis trafik Singapura juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu kenderaan yang melanggar peraturan lalu lintas selain boleh dinafikan masuk ke Singapura di pusat pemeriksaan darat dan berdepan hukuman.
Mereka yang didapati bersalah mengendalikan kenderaan yang mengeluarkan bunyi yang berlebihan atau mengeluarkan asap melebihi peraturan boleh didenda hingga Singapura dolar 2,000 (RM6,207) bagi kesalahan pertama kali dan Singapura dolar 5,000 (RM15,518) kesalahan berulang.
Mereka yang didapati bersalah gagal mempamerkan plat lesen yang betul boleh dipenjara hingga tiga bulan dan didenda Singapura dolar 1,000 (RM3,103).