Pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, Roman Abramovich kebelakangan ini dikelilingi dengan kontroversi susulan pemilikan sebuah jet peribadi.
Selain pemilik kelab bola sepak paling banyak membawa pulang piala, Abramovich juga dikenali kerana memiliki Boeing 767-300ER salah satu jet peribadi paling mahal di dunia.
Pesawat pertama yang dibeli ‘oligarch’ (orang kaya) Rusia-Israel itu adalah jet Boeing 737-700. Kemudian dia memiliki pesawat Boeing 767-300ER yang didaftarkan sebagai P4-MES.
Boeing 767-300ER yang digelar sebagai The Bandit itu boleh dianggap sebagai sebuah rumah agam bergerak dengan sayap dan roda. Pesawat itu digelar The Bandit kerana cat hitam ‘Topeng Zorro’ di bahagian depan, sama seperti yang pesawat Airbus baharu.
Pesawat itu dibina pada 2003 untuk Hawaiian Airlines. Namun, Abramovich membeli pesawat tersebut pada 2004 selepas syarikat penerbangan itu membatalkan tempahan.
Jet itu dikendalikan oleh Global Jet Luxembourg, sebuah syarikat sewa udara persendirian. Global Jet juga terkenal dengan pengendalian pesawat seperti Boeing 737 dan Airbus A319.
Boeing 767-300ER itu dilengkapi dengan dewan bankuet yang mampu memuatkan 30 orang. Bahkan turut didatangkan dengan ruangan pejabat, tiga bilik tetamu, dua bilik air tetamu, dapur serta suite bilik mandi dengan perabot kayu berangan dan hiasan emas.
Sebagai keselamatan, pesawat itu juga boleh menyekat frekuensi radio daripada sebarang ancaman. Bahagian dalam ‘The Bandit’ itu direka oleh pereka kapal layar Andrew Winch.
Bagi sumber kuasa, pesawat tersebut menggunakan enjin Pratt dan Whitney PW4000 dengan kelajuan 850kmj.
Semua keistimewaan itu tidak dapat mengekalkannya di bawah armada pesawat Roman Abramovich. Dikhabarkan jet peribadi itu dijual penghujung tahun lalu pada harga mula kira-kira AS100 juta (RM425 juta).
Beliau menggantikannya dengan Boeing 787 Dreamliner 50 tempat duduk mewah yang didaftarkan sebagai P4-BDL sekaligus menjadikannya pemilik ketiga memiliki pesawat peribadi 787.
Kabin 787 lebih besar boleh menempatkan lebih banyak penumpang dan ciri baharu. Lebih penting pesawat itu mampu bergerak sejauh 18,418km apabila membawa 25 penumpang.
VIDEO
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar