Sebelum ini model Proton Saga MC2 dikesan menjalani ujian di jalan raya lokal dan terkini bocor pula dokumen tawaran varian dan spesifikasi sedan segmen-B tersebut.
Kini Proton Saga ditawarkan dengan satu varian baharu 1.3L Premium S (AT) di samping 1.3 Premium (AT), 1.3 Standard (AT) dan 1.3 Standard (MT). Proton menawarkan pilihan transmisi 5-kelajuan manual atau 4-kelajuan automatik sama sebelumnya.
Kemungkinan janakuasa kekal tidak berubah yang masih menawarkan enjin 4-silinder NA 1.3 liter dengan kuasa 93hp dan tork 120Nm.
Menurut Paultan, varian baharu Saga didatangkan dengan sistem tanpa kunci dan butang penghidup enjin, cermin sisi boleh lipat automatik serta suis khas membuka pintu but buat pertama kali.
Selain itu, 1.3 Premium S (AT) didatangkan dengan kit badan yang dikesan pada imej intip sebelum ini iaitu kemasan hitam pada lip depan, perumah cermin sisi dan rim.
Ciri peralatan khas lain bagi varian itu termasuklah paparan meter baharu, stereng balutan kulit sintetik, tempat duduk fabrik digantikan dengan separa kulit sintetik, lampu dalam malap automatik serta kemasan dalam warna hitam.
Selain itu, Saga juga menerima logo harimau Proton baharu. Varian 1.3 Premium (AT) pula ditawarkan dengan rim baharu 15 inci dan skrin sentuh bersaiz tujuh inci yang dinaiktaraf.
Proton Saga masih lagi dilengkapi dengan dua beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Agihan Brek Elektrik (EBD), sensor undur dan Isofix.
Bermula dari varian 1.3L Standard AT, Saga didatangkan dengan tambahan ciri standard seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TC) dan juga Bantuan Mula Mendaki yang mana kesemua ciri tersebut hanya ada pada model Premium (AT).
Pelancaran model berkenaan masih belum diketahui, kita nantikan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar