Bermaz Motor previu kenderaan crossover elektrik pertamanya di Malaysia menerusi Mazda MX-30 yang dijangka akan dilancarkan pada suku keempat pada tahun ini.
Pada pasaran global, MX-30 mula diperkenalkan pada Pameran Motor Tokyo 2019, selain pernah memenangi Red Dot Design 2020.
Buat masa ini, Bermaz Motor tidak memaklumkan berhubung harganya, tetapi mereka mengatakan akan menawarkan pada harga yang kompetitif.
Untuk makluman, harga jualan untuk pasaran California bermula daripada USD33,470 (RM140,984.92) tidak termasuk caj lain dan juga model Premium Plus.
Siapa yang bakal beli MX-30
Sasaran pelanggan yang bakal memiliki jentera itu adalah golongan muda, berkeluarga dan warga tua.
Reka bentuk MX-30 adalah berdasarkan terma sebagai “Manusia Moden” dan pembangunan kaedah ekspresi baharu bagi rekaan Kodo – Soul of Motion.
Pintunya seolah-olah mengambil dari inspirasi Mazda CX-8 yang memudahkan penumpang lebih mudah ke tempat duduk hadapan dan belakang.
Material bahan mesra alam
Bahagian dalamannya memberi suasana lebih luas dengan konsol terapungnya dan pengenalan bahan mesra alam seperti kulit vegan dan gabus, selain menyediakan ruang penyimpanan kreatif.
Dimensinya pula, ia memiliki panjang (4,395mm); lebar (1,795mm); tinggi (1,555mm) dengan jarak roda (2,655mm).
Untuk pengecas DC, ia memerlukan 36 minit untuk kapasiti bateri dari 0-80 peratus, manakala lima jam untuk penuh dengan pengecas AC menerusi penggunaan Wallbox atau 12 jam menggunakan plug biasa di rumah.
Bagi pasaran global, crossover itu ditawarkan dengan empat pilihan warna badan iaitu Machine Gray Metallic, Polymetal Gray Multi-Tone, Ceramic Metallic Multi-Tone dan Soul Red Crystal Multi-Tone.
Ini perincian lain yang anda perlu tahu tentang MX-30:
- Ia menggunakan motor elektrik dengan bateri 35 kWh kapasiti lithium-ion.
- Menyalurkan kuasa 107kW persamaan 143hp
- Tork maskimum mencecah 271Nm
- Sekali cas penuh, ia boleh dipandu 199km