Sebanyak 30 lebuhraya di seluruh negara menawarkan tol percuma dan diskaun sempena sambutan Aidilfitri 3 Mei ini.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, tol percuma dan diskaun itu melibatkan jumlah RM77.11 juta dan akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.
“Pemberian tol percuma melibatkan lebuhraya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara – selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuhraya pantai timur (LPT).
“Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan,” katanya.
Keputusan itu diambil selepas mengadakan sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuhraya.
Sementara, tol percuma pengguna Plus dan LPT yang pulang semula ke kediaman masing-masing bermula 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) hingga 11.59 malam 8 Mei (Ahad) untuk semua kelas kenderaan.
Tawaran diskaun tol antara 30 peratus hingga 50 peratus itu akan diberikan kepada lebuhraya lain pada tarikh dan masa sama bagi semua kelas kenderaan.
“Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan bersama orang tersayang.
“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya, terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar