Toyota Alphard mahupun Vellfire merupakan MPV mewah yang menjadi pilihan M40 di Malaysia. Boleh dikatakan majoriti pembeli yang berkemampuan memilih dua model berkenaan apabila ingin menaiktaraf MPV lebih besar.
Bagaimanapun timbul persoalan mana satu lebih menguntungkan, beli atau sewa Vellfire?. Sekiranya membeli MPV tersebut banyak kos perlu dipertimbangkan misalnya insurans, bayaran bulanan dan penyelenggaraan.
@brofairuschannel Beli atau Sewa Vellfire Baru?
Menurut perkongsian pengguna akaun TikTok @brofairuschannel, dia ingin menggantikan Vellfire miliknya dengan model baharu.
Jelasnya, pengguna Vellfire sukar menggantikan MPV itu dengan model lebih kecil kerana sudah biasa dengan keselesaan MPV lebih besar.
“Beberapa bulan lepas, aku jumpa seorang sahabat. Umurnya sudah lebih 50 tahun. Investment beliau merata tempat. Beliau adalah orang yang success, namun hidup low profile. Duduk rumah pun income beratus ribu sebulan. Jangan risau, bukan trader forex.
“Beliau kongsikan sesuatu yang menyebabkan aku berfikir panjang. Padahal benda itu aku dah sedar lama, cuma aku tak jumpa orang yang praktikkannya lagi. Bila sahabat aku yang jauh lebih success dari aku buat benda ni, menung juga aku sekejap,” katanya.
Berikut perkongsian lelaki tersebut:
1. Harga Vellfire recond (terpakai) 2.5CC (2019) harganya sekitar RM250,000.
- Bayaran bulanan: RM3,000 (RM36,000 setahun)
- Insurans setahun: RM7,000
- Cukai jalan setahun: RM780
- Purata penyelenggaraan: RM400 (RM4,800 setahun)
Pengiraan di atas melibatkan kos yang perlu dikeluarkan dan tidak termasuk kos ‘mencantikkan’ kereta misalnya naiktaraf rim, sistem bunyi, ekzos dan sebagainya.
Jumlah kos secara kasar yang dikeluarkan setahun sekitar RM48,580. Jika kenderaan digunakan sembilan tahun kos yang dibelanjakan kira-kira RM437,220 (+/- harga insurans mengikut nilai kenderaan).
2. Secara purata, aku sendiri balik ke kampung enam kali setahun. Setiap kali balik, aku akan habiskan maksimum empat hari menjadikan 24 hari setahun. Dalam setahun, purata bawa anak-anak berjalan jauh dan purata bermalam hanya dua hari. So aku gunakan Vellfire ini untuk bercuti bersama keluarga hanya empat hari.
3. Keseluruhan penggunaan kenderaan Vellfire ini kira-kira 28 hari setahun. Selain itu, kereta hanya diparkir dan tidak sesuai untuk kegunaan harian. Saiznya besar dan penggunaan petrol yang tidak ekonomi. Under utilize.
4. Waktu ini, Vellfire baharu boleh disewa dengan kadar RM700 sehari. Jadi jika disewa selama 28 hari kos yang dikeluarkan kira-kira RM19,600 tanpa memikirkan keperluan baikpulih, cukai jalan, insurans, tayar dan sebagainya. Kita habiskan hanya 40 peratus berbanding memilikinya.
Rakannya menegaskan keutamaan lelaki tersebut adalah keselesaan yang mana dengan menyewa MPV tersebut dia juga memenuhi keinginan tersebut tanpa perlu memiliki.
______________________________________________________________________
PERBANDINGAN BELI DAN SEWA VELLFIRE DARI UMW TOYOTA MOTOR
Membeli sebuah MPV memerlukan beberapa pertimbangan sesuai keperluan sendiri dan tentunya bergantung kepada kemampuan ‘kocek’.
Bagaimana pula pembeli yang ‘layak’ memiliki MPV mewah tersebut?. Menurut kami selain membeli model recond, anda boleh mempertimbangkan model baharu.
UMW Toyota Motor menjual Vellfire 2.5 (AT) baharu pada harga RM367,881 bersama waranti lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.
Di UMW Toyota Motor pelanggan boleh membeli atau menyewa MPV tersebut dengan beberapa pilihan kewangan.
PELAN FLEXI
Salah satunya Pelan Flexi dengan tawaran pinjaman 90 peratus (RM331,000); bayaran pendahuluan 10 peratus dan kadar pinjaman asas 5.5 peratus.
Pelan tersebut memberi kebebasan pembeli mengawal sepenuhnya pinjaman dengan mengurangkan jumlah faedah dan tempoh pinjaman menerusi bayaran tambahan ansuran bulanan.
Di bawah pengiraan bayaran bulanan yang perlu di bayar pengguna:
Di bawah Pelan Flexi pelanggan boleh memilih tambahan bayaran bulanan sama ada RM100, RM200 atau RM500 bagi ansuran RM4581 (seperti di bawah). Namun, perlu diingatkan kadar dua peratus akan dikenakan bagi bayaran tertunggak.
Kinto One (program langganan kenderaan)
Selain itu, pengguna juga boleh melanggan MPV tersebut menerusi Kinto One dengan kadar sewa bulanan sekitar RM9,548 (34 bulan) di laman web UMW Toyota Motor.
Pelanggan Kinta One tidak perlu risau kerana semua servis diperlukan akan dikendalikan sepenuhnya wakil pengedar sah Toyota dengan perlindungan insurans takaful komprehensif dengan bantuan kecemasan 24 jam.
Apabila tamat, pelanggan perlu memulangkan kenderaan itu kepada Toyota Malaysia. Sementara itu, berdasarkan tinjauan kami di laman web Kinto One pelanggan boleh memilih beberapa pakej yang disediakan dengan sewaan minimum dua hingga lima tahun.
Pakej Penyelenggaraan:
- Pakej Standard (termasuk servis komponen haus dan lusuh)
- Pakej Lite (tidak termasuk komponen haus dan lusuh)
- 20,000km atau 30,000km setahun (caj 50 sen per km bagi perbatuan tambahan)
______________________________________________________________________
RISIKO BELI KERETA RECOND
Sementara, Vellfire recond tiada jaminan kenderaan bebas kerosakkan yang mana mengikut ‘nasib’.
Misalnya, rakan kami baru saja membeli Vellfire (2016). Tetapi pendingin hawa rosak selepas tiga bulan digunakan dan terpaksa berhabis ribuan ringgit untuk baikpulih. Ini salah satu cabaran membeli kereta terpakai kerana risiko akan datang.
Selain itu, pembeli MPV recond juga perlu mengeluarkan duit bagi mendapatkan waranti tambahan buat enjin dan transmisi walaupun penjual ada menawarkan beberapa jaminan tertentu mengikut pakej yang ditawarkan misalnya menerusi EasyCare.
Manakala jika membeli model baharu ketenangan minda pemilik terjaga dengan pakej penyelenggaraan yang disediakan oleh pihak UMW Toyota Motor.
Servis wajib yang perlu dilakukan pemilik adalah pada bulan pertama (1000km) dan bulan ketiga (5000km) dengan anggaran kos sekitar RM180 dan RM132 masing-masing.
Tetapi, jika anda ingin menggunakan kenderaan Vellfire untuk bercuti di hujung minggu lebih afdal menyewa kenderaan tersebut.
Jadi apa pendapat anda sewa, langgan atau beli?. Kenderaan adalah liabiliti bukan aset, jika anda lebih daripada ‘mampu’ dan perlukan MPV besar dipersilakan membeli Vellfire.
Menurut kami kebiasaannya pelanggan yang membeli MPV tersebut lebih daripada mampu dan tidak perlu membuat perkiraan.
Berfikir secara rasional itu sebenarnya memudahkan anda membuatkan keputusan cuma apabila menggunakan nafsu dan kehendak itu yang sukar!.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar