Sultan Brunei memiliki koleksi kereta terbesar di dunia bahkan antara kenderaan yang mengisi garaj baginda merupakan model ‘rare’ yang sukar dtemui dan mencuri perhatian pengacara televisyen Amerika, Jay Leno.
Sultan Brunei dan Jay Leno memiliki minat yang sama iaitu mengumpul koleksi kereta yang mengagumkan. Menurut laporan baru-baru ini, Sultan Hassanal Bolkiah mempunyai kira-kira 7,000 buah koleksi kereta tetapi Jay Leno masih memiliki beberapa model paling unik.
Koleksi yang mengisi garaj Sultan Brunei antaranya kira-kira 600 buah Rolls-Royce, 500 buah Mercedes-Benz, 450 buah supercar Ferrari dan 380 unit Bentley serta banyak lagi dengan anggaran nilai lebih daripada AS5 bilion (RM21 bilion).
Kenderaan itu hanya untuk baginda dan ahli keluarga yang mana kebanyakannya adalah model yang ditempah khas (hanya ada satu dalam dunia) mahupun dikeluarkan dalam unit terhad.
Ini bermakna Sultan memiliki kereta dari pengeluar terkenal yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Sebagai perbandingan, koleksi kereta Jay Leno biasanya edisi terhad atau dihasilkan secara besar-besaran kecuali Jaguar XKE V12 jarak roda pendek.
Kereta paling mahal pada masa ini dalam koleksi Jay Leno ialah McLaren F1 (1994) yang berharga antara AS14 dan AS26 juta (RM61-RM105 juta). Tetapi masih tidak boleh mengalahkan koleksi Sultan Brunei yang memiliki 10 unit model tersebut termasuk lima kereta jalanan, F1 LM (3), F1 GT (1), dan F1 GTR (1).
Kemungkinan besar terdapat beberapa model yang Jay Leno inginkan daripada garaj Sultan Brunei terutamanya kerana dia begitu obses dengan jenama McLaren dan kereta mewah besar.
Berikut 10 kereta Sultan Brunei yang mungkin Jay Leno ingin miliki:
1. McLaren F1 GT
Jay Leno sering menyatakan pengeluar kegemarannya ialah McLaren, justeru itu dia memiliki sebuah model McLaren F1 GT. Jadi tidak mustahil sekiranya dia begitu mengimpikan memiliki F1 GT Sultan Brunei yang mana hanya ada tiga unit saja di dunia.
Bahkan April lalu, supercar milik Sultan Brunei itu dikesan di lapangan terbang Heathrow, London bagi proses restorasi McLaren F1 GT.
F1 GT diubahsuai daripada sebuah kereta jalanan dengan ekor panjang untuk meningkatkan kestabilan aerodinamik dan downforce. Gerbang roda dilebarkan dan bahagian depan dilengkapi dengan splitter.
Semua pengubahsuaian itu dilakukan untuk mematuhi peraturan homologasi untuk kereta lumba.
2. Mercedes-Benz S73 T AMG
Bagi sesiapa yang biasa dengan strategi penamaan AMG, ’73’ adalah janakuasa paling berkuasa. Sultan mengarahkan AMG untuk menggunakan enjin 7.3 liter V12 dengan kuasa 565hp ke dalam sedan S-Class.
Bahkan baginda meminta AMG menjadikannya sebuah wagon. Bayangkan, janakuasa 7.3 liter V12 dengan bunyai garang ekzos Pagani Zonda pada sebuah wagon.
Untuk makluman, enjin 7.3 liter V12 tersebut asalnya digunakan pada model SL 73 AMG. Ia merupakan janakuasa aspirasi natural yang dihasilkan oleh AMG dan kini eksklusif digunakan oleh Pagani.
3. Bentley Rapier/Highlander/Tornado
Bentley Rapier/Highlander/Tornado (tiada siapa yang pasti nama yang sesuai dengan Bentley ini) menampilkan gaya yang lebih sporty.
Model itu menggunakan enjin yang sama dengan model Bentley Continental R Sufacon – iaitu 6.75 liter V8 dengan kuasa ditingkatkan kepada 527hp. Bentley empat pintu ini juga tidak dipasang dengan penukar pemangkin yang menghasilkan bunyi lebih bagus.
4. Cizeta V16T
Kereta sport Itali ini dikeluarkan bermula 1991 hingga 1995. Dibangunkan oleh sekumpulan mantan pekerja Lamborghini ia menggunakan enjin 6.0 liter V16 bersama transmisi manual 5-kelajuan.
Penggayaan Cizeta V16T diilhamkan oleh Lamborghini Countach dan Diablo, tetapi dengan bahagian tepi yang lebih lembut dan elemen reka bentuk yang unik.
5. BMW Nazca M12
BMW Nazca M12 adalah kerjasama antara gergasi kereta Jerman dan Italdesign. M12 kebanyakannya dibina daripada gentian karbon dan satu pencapaian yang mengagumkan untuk sebuah kereta sport pada awal 1990-an.
Jentera itu menggunakan enjin 5.0 liter V12 yang sama dengan BMW 850i. Supercar dengan bukaan pintu seperti gullwing itu memiliki berat 1088kg.
6. Ferrari F90 Testarossa
Bahagian dalam dan luaran kustom Ferrari F90 Testarossa dibina khas berdasarkan 512 Testarossa tahun 1980-an. F90 direka oleh Pininfarina yang memilki reka bentuk lebih berkontur berbanding dengan bentuk kotak 512 yang lebih ikonik. Sultan Brunei menempah enam buah supercar tersebut salah satunya pernah dilihat di Monaco.
7. Ferrari 456 GT Venice
Ferrari 456 GT Venice merupakan wagon Ferrari empat pintu. Ia ditempah khas oleh kekanda Sultan dan tidak dikira sebagai model rasmi Ferrari. Bagaimanapun, ia boleh dianggap sebagai Ferrari empat pintu yang pertama sebelum kemunculan FF.
Venice berasaskan model 456 GT iaitu model perdana Ferrari pada masa itu. Ia menggunakan enjin sama 5.5 liter V12 berkuasa 440hp. Model standard 456 GT berharga AS215,000 (RM944,817), manakala 456 GT Venice berharga AS1.5 juta (RM6.6 juta).
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar