Selepas beberapa bulan teaser video dan imej intip, Denza rasmi memperkenalkan model kedua MPV D9.
MPV itu merupakan kerjasama antara BYD dan Mercedes-Benz yang didatangkan dengan pilihan empat atau tujuh kerusi. D9 tersedia dalam pilihan plug in hibrid atau elektrik dengan pacuan dua dan empat roda.
Dari segi harga D9 plug in hibrid bermula daripada yuan 335,000 hingga yuan 445,000 (RM218,330-RM290,021) dan versi elektrik pula berharga yuan 390,000 hingga yuan 460,000 (RM254,176-RM299,797). Versi mewah empat kerusi pula dijual pada harga yuan 660,000 (RM430,144).
Bagi versi hibrid model itu menawarkan pemanduan antara 945km dan 1040km yang mana 190km menggunakan elektrik sepenuhnya. Ia menggunakan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor serta bateri yang lebih kecil dan boleh dicas menggunakan plug DC 80 kW.
Sementara, versi elektrik menawarkan jarak pemanduan sehingga 600km dengan pengecasan paling tinggi 166 kW.
Bahagian dalam MPV China ini didatangkan dengan teknologi dan ciri peralatan terkini. Tersedia tujuh buah skrin, bumbung panorama besar, dua skrin didatangkan dengan kamera 8MP, kemasan kulit Nappa, peti sejuk pintar di antara kerusi depan, kerusi kapten dengan 10 pelarasan dan perehat kaki, fungsi urut dan tiga pengecas tanpa wayar 50kW.
Selain itu, sistem karaoke turut disediakan pada MPV tersebut bersama signatur kustom audio.
D9 juga didatangkan dengan sistem autonomi L2+ merangkumi lima gelombang radar dan 12 radar ultrasonik antara 24 sensor pada MPV tersebut. Demi ketenangan minda pemilik, D9 dilengkapi dengan sembilan beg udara.
Daripada segi saiz, MPV tersebut memiliki panjang 5,250mm, lebar (1,950mm), tinggi (1,920mm) dan jarak roda (3,110mm). Saiznya terletak antara Toyota Alphard dan Hyundai Staria.
Oleh kerana Denza dikeluarkan buat pasaran China, D9 cuma ditawarkan dalam versi pemanduan sebelah kiri.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar