“Dari mata turun ke hati” Peribahasa ini ada logiknya juga selepas berlakunya kepada penulis selepas memandu uji Honda Civic RS generasi baharu.
Sejujurnya, penulis sebenarnya tidak suka dengan rekaan untuk Civic baharu ini apabila melihatnya menerusi di internet. Maklumlah, bentuk baharu ini tidak memiliki garisan tajam seperti model sebelumnya.
Bagaimanapun, selepas melihatnya secara bersemuka, tanggapan penulis itu terus berubah dan ternyata rekaan baharu itu memang cantik.
Bonet hadapannya juga lebih panjang kira-kira 2 inci, menjadikan penampilannya seakan-akan sebuah jentera Fastback. Sekali imbas, nampak sebuah jentera continental!
Varian RS paling menarik
Lebih menarik, kenderaan pandu uji ini adalah varian paling tinggi iaitu RS, harganya juga boleh dikatakan agak kompetitif dengan bermula RM144,350.
Kalau lihat pada luarannya, varian RS ini nampaknya lebih sporty dengan penggunaan kosmetik tambahan dengan:
- Perumah lampu dengan kemasan hitam
- Lampu utama dan lampu siang (DRL) berbentuk ‘L’ LED
- Logo RS di depan dan belakang
- Rim 18 inci hitam dengan rekaan menarik
- Kemasan hitam pada cermin sisi, spoiler, antena sirip, pemegang pintu
- Peredam ekzos salutan krom
Bagi penulis, varian RS ini sebenarnya satu pakej yang lengkap. Tidak lagi perlu tambah aksesori selepas jualan (after market), pandu sahaja standard macam ini sudah cukup indah.
Apa yang penulis mahu sangat kongsikan, dari segi pemanduan dan pengendaliannya. Pemanduan Honda Civic RS ini boleh dikatakan seperti penulis berada dalam sebuah kenderaan jenama Eropah.
Ia lebih selesa dengan suspensi yang tidak terlalu keras dan sedikit lembut membuatkan ia sangat sedap dipandu ketika penulis memandu ujinya dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, baru-baru ini.
Rakan penulis yang duduk di tempat belakang, boleh dikatakan sangat lena tidur, biarpun ketika itu sudah mencecah kelajuan 180kmj.
Kedapan bunyinya juga sangat baik kerana bunyi enjin sangat kurang kedengaran di ruang kabin.
Bahagian kabin tampak minima dan kemas. Paling penulis suka adalah rekaan jaring sarang lebah pada papan pemukanya.
Tombol penyaman udara dengan balutan krom, sedikit memberi imej mewah pada model ini.
Sedikit perbezaan dengan varian biasa, bagi RS ruang kabin dengan suasana hitam. Ia lebih menarik dengan kemasan jahitan merah pada stereng balutan dan tempat duduk.
Tempat duduknya menerima gabungan material kulit dan fabrik dengan rekaan ala semi bucket. Cuma ia rasa sedikit keras, tapi masih selesa untuk pemanduan jauh.
Pengendalian seakan kereta continental
Dari segi pengendalian, apa yang dikatakan oleh Ketua Projek Honda Civic Generasi ke-11, Tomoyuki Yamagami sebelum ini memang betul.
Penanda aras dari segi pengendalian dibuat perbandingan dengan beberapa segmen C yang lain seperti Mazda 3, selain kenderaan segmen lebih atas membabitkan Audi A3 dan A4.
Ternyata pengendaliannya lebih baik berbanding model Civic yang ada sebelum ini. Jarak rodanya juga lebih panjang 35 milimeter untuk memberi kestabilan yang dinamik.
Bukan sahaja bentuk baharu, enjinnya juga dinaik taraf berbanding sebelum ini.
Biarpun masih menggunakan enjin 1.5 liter VTEC turbo, outputnya meningkat sehingga 9PS menjadikan 182PS, manakala tork mencecah 240Nm iaitu peningkatan 20Nm berbanding model terdahulu.
Pada masa sama, ia turut mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport. Ketika menggunakan mod Sport, kuasa yang diberikan cukup bertenaga, tetapi bagi penulis mod Normal sudah cukup memadai, memang ada kuasa!
Pada risalah Honda Civic ini, ia mengatakan kelajuan maksimum hanya boleh mencecah 200kmj, tetapi sebenarnya ia boleh melebihi tahap itu.
Honda Sensing sangat membantu
Ketika perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, keadaan trafik boleh dikatakan sedikit sesak di beberapa tempat di lebuh raya.
Nasib baik ada Honda Sensing yang sangat membantu pemanduan penulis. Ketika laluan sedikit sesak dengan pemanduan kurang 60kmj, ciri Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low-Speed Follow (LSF) sangat membantu.
Ketika itu, penulis tidak lagi perlu menekan pedal minyak dan membiarkan sistem itu menentukan kelajuan dengan mengikut jarak kenderaan hadapan. Cuma pegang stereng dan lihat kenderaan di hadapan.
Honda Sensing untuk Honda Civic baharu ini juga mempunyai ciri baharu iaitu Lead Car Departure Notification System. Ia memberi amaran kepada pemandu pada meter kelajuan sekiranya kereta di hadapan sudah bergerak.
Ciri itu melengkapkan lagi Honda Sensing yang sedia ada membabitkan Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Keep Assist System (LKAS), Foward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dan Auto High Bean (AHB).
Tahap penggunaan bahan api
Tahap penggunaan bahan api Civic baharu ini pula diuji ketika penulis memandu dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu melalui LPT 1 dan LPT 2.
Perjalanan dengan isian penuh bahan api bermula dari Petaling Jaya, Selangor, dan penulis perlu mengisinya semula di Kuala Terengganu dengan jarak perjalanan sejauh kira-kira 460km. Bagi isian penuh, penulis perlu membayar kurang RM80 dengan menggunakan petrol RON95.
Untuk makluman, separuh perjalanan penulis memandu dengan kelajuan purata 130-150kmj, 30 peratus (kelajuan 100-120kmmj dan selebihnya kurang 80kmj).
Kesimpulan
Jika mahu memiliki sebuah kenderaan sedan keluarga yang selesa dan tampak sporty, inilah senarai kereta yang perlu ada dalam senarai anda.
Galeri Honda Civic RS
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar