Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan tahun lalu menerusi tiga pilihan varian X, H dan AV. Kehadiran SUV itu mendapat sambutan hangat sehinggakan tempoh menunggu agak lama.
Selain bayaran bulanan pelanggan juga perlu mengetahui tentang perbelanjaan penyelenggaraan SUV tersebut sebagai persediaan sebelum membeli Ativa.
Tambahan, Perodua pertama kali menggunakan enjin 1.0 liter turbo dan juga kotak gear D-CVT. Walaupun Ativa menggunakan enjin dan transmisi lebih terkini, kos servis Ativa sebenarnya tidak jauh berbeza dengan Myvi dan Aruz.
Bahkan, pemilik Ativa tidak perlu menghantar kereta mereka pada 1000km dan 5000km pertama yang mana menjimatkan kos pengguna. Di bawah ini kos penyelenggaraan Ativa yang kami peroleh menerusi laman web rasmi Perodua.
- Servis 10,000km (RM160.50)
Pada tahun pertama, apabila perbatuan mencapai 10,000km pemilik perlu memperuntukkan sebanyak RM160.50. Harga ini tidak berubah sama dengan kos penyelenggaraan tahun lalu walaupun ada isu kenaikan harga alat ganti.
Pada servis pertama melibatkan penggantian:
- Minyak enjin sintetik penuh 0W-20 3.5 liter:RM145.60
- Penapis minyak hitam: RM11.90
- Drain plug gasket: RM3.00
- Tiada caj buruh dikenakan
2. Servis 20,000km (RM259.30)
Sebagai persediaan sebelum perbatuan mencapai 20,000km, anda perlu menyediakan wang sebanyak RM259.30 bagi servis kedua yang melibatkan pertukaran:
- Minyak enjin sintetik penuh 0W-20 3.5 liter: RM145.60
- Penapis minyak hitam: RM11.90
- Drain plug gasket: RM3.00
- Air refiner: RM33.50
- Caj buruh: RM61.60
- Caj SST: RM3.70
Perlu diingatkan anda perlu membayar kos yang sama apabila mencapai perbatuan 60,000km.
3. Servis 30,000km (RM202.79)
Pada kilometer ini, kos servis Ativa hampir sama dengan kos 10,000km pertama yang melibatkan servis:
- Minyak enjin sintetik penuh 0W-20 3.5 liter:RM145.60
- Penapis minyak hitam: RM11.90
- Drain plug gasket: RM3.00
- Caj buruh: RM39.90
- Caj SST: RM2.39
Ini menjadikan kos keseluruhan servis Ativa hanyalah RM 202.79 sahaja. Pemilik juga perlu membayar harga sama bagi servis kilometer seterusnya iaitu 50,000km, 70,000km dan 90,000km.
Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar bagi empat servis ini adalah RM811.16.
4. Servis 40,000km (RM423.12)
Sebelum mencapai servis 50,000km, Ativa perlu dihantar bagi menjalani penyelenggaraan major pada 40,000km yang melibatkan kos RM423.12.
- Minyak enjin sintetik penuh 0W-20 3.5 liter:RM145.60
- Penapis minyak hitam: RM11.90
- Penapis udara: RM53.80
- Minyak brek: RM28.00
- Coolant radiator: RM51.60
- Drain plug gasket: RM3.00
- Air refiner: RM33.50
- Caj buruh: RM90.30
- Caj SST: RM5.42
Kos ini adalah sama pada apabila Ativa mencapai perbatuan 80,000km.
5. Servis 100,000km (RM841.40)
Apabila mencapai 100,000km atau lima tahun pemilikan kos servis akan bertambah kerana pemilik perlu menukar set palam pencucuh (3 unit) yang berharga RM471.90 dan minyak transmisi D-CVT (RM 97.50) menjadikan kos keseluruhan RM 841.40.
Dalam tempoh lima-tahun pemilikan Ativa, pemilik menghabiskan sekitar RM3,100 untuk penyelenggaraan yang mana tidak jauh berbeza dengan model Myvi dan Aruz.
Walaupun Ativa menggunakan tiga-silinder berbanding empat silinder pada Myvi dan Aruz, tidak bermakna kos penukaran palam pencucuh lebih murah berbanding dua model berkenaan.
Harga palam pencucuh Ativa lebih sekali ganda mahal berbanding Myvi. Namun, kos minyak kotak gear Ativa lebih murah berbanding kotak gear automatik Perodua Myvi yang berharga RM107.70.
Begitu juga penapis udara enjin Ativa lebih murah tetapi perlu ditukar lebih kerap setiap 20,000km berbanding setiap 30,000km pada Myvi.
Sementara komponen haus dan lusuh yang lain seperti tayar anda boleh melakukan survei di kedai yang mana varian X menggunakan saiz tayar 205/60 R16 Goodyear Assurance Triple Max 2 manakala varian H dan AV bersaiz saiz 205/60 R17 Bridgestone Turanza.
Sementara cukai jalan Ativa hanyala RM20 setahun dan apabila anda ingin memperbaharui insurans ataupun membeli Ativa jangan lupa sertakan sekali insurans bencana alam mengambilkira beberapa lokasi di Malaysia yang sering berlaku banjir kilat.