Bagi peminat motosikal berkuasa tinggi kategori ‘naked’, Yamaha MT-09 yang diperkenalkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada penghujung tahun lalu, boleh dianggap yang terbaik dalam kelasnya.
Ini sebabnya kenapa jentera ini harus anda miliki:
Harga yang kompetitif
Dari segi harga, ia boleh dikatakan sangat kompetitif dalam kategorinya selepas dijual pada harga RM54,998.
Harganya itu tidak terlalu mahal dan agak berpatutan dengan sebuah jentera jenama matahari terbit yang padat dengan teknologi yang ada pada jentera berkenaan.
Enjin yang berkuasa
Dikuasakan enjin 889cc penyejukan cecair 3-silinder yang lebih ringan dan berkuasa. MT-09 generasi ketiga mampu menjana kuasa 117hp @ 10,000rpm dan tork 93Nm @ 7,000rpm.
Penghantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan bersama Klac Assist dan Slipper, sekali gus memudahkan untuk menukar gear tanpa menarik klac.
Enjin lebih besar itu menawarkan gabungan kecekapan pembakaran dalaman lebih baik bersama janaan tork tinggi dengan rpm rendah yang memberikan penjimatan minyak impresif berbanding sebelumnya.
Sepanjang penulis mengujinya, kuasa yang dibekalkan tidak terlalu agresif, tetapi kuasa pecutannya tidak kedekut untuk memecut untuk kelajuan maksimum.
Untuk penunggang baru, jentera ini masih boleh lagi dikawal dan agak mudah untuk dijinakkan.
Casis lebih ringan
Berbanding keluarga MT-09 sebelum ini, generasi baharu itu lebih ringan dengan berat 189kg. Pengurangan berat itu sebenarnya memberi kelebihan terutama sekali ia mudah dikawal, selain melayan selekoh dengan baik.
Apa yang baiknya, ia menggunakan kerangka aluminium baru lebih tegar, sekali gus beri lebih kestabilan serta menawarkan karekter tunggangan dinamik.
Penulis akui, memang kawalan jentera ini boleh dianggap yang terbaik. Setiap selekoh, rasa sangat yakin berbanding menunggang motosikal berkuasa tinggi milik penulis sendiri.
Mungkin gaya posisinya untuk pemegang hendal yang sedikit terbuka membuatkan ia lebih sedap untuk melayan selekoh pada kelajuan tinggi.
Cuma pada kelajuan tinggi, bahagian hadapan rasa sedikit ringan dan hendal agak bergoyang.
Penampilan
Bagi pandangan penulis, bentuk MT-09 sebelumnya adalah lebih menarik berbanding generasi baharu ini terutama sekali lampu bahagian hadapan. Lampu baharu ini, tampak terlalu kompak membuatkan nampak kecil berbanding sebelumnya.
Namun, lampu itu memberi pencahayaan utama LED, selain memiliki jalur lampu siang (DRL) menegak. Lampu belakang juga menggunakan LED yang masih menarik, jika lihat pada waktu malam.
Cuma, ia kelihatan gemuk pada bahagian tengah dan agak langsing serta rekaan tampak ringkas untuk bahagian belakang.
Pada masa sama, rekaan rim 17 inci tampak sedikit kelainan yang mana ia 700 gram lebih ringan dengan balutan tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.
Teknologi dan keselamatan
Ia dipadankan panel paparan TFT berwarna 3.5 inci baru yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan operasinya boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.
Pada masa sama, MT-09 generasi baharu ini didatangkan dengan Unit Pengukuran Inersia 6-axis (IMU) untuk memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).
Ciri keselamatannya dilengkapi Sistem Kawalan Traksi (TCS), Sistem Kawalan Slide (SCS), Sistem Kawalan Lift tayar depan (LIF), dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) Selekoh.
Sistem brek hadapan menggunakan set berkembar angkup empat omboh dan cakera 298 mm, manakala 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Kesimpulan
Buat masa ini, MT-09 generasi baharu boleh dikatakan jentera naked yang terbaik dari Yamaha untuk pasaran tempatan. Patutlah, ramai yang menunggang pada hujung minggu dan semuanya laju!