Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi beberapa imej Mercedes-AMG GT Black Series P-One di akaun Instagram dengan kapsyen ringkas ikon bendera hitam.
Imej itu memberi bayangan TMJ bakal menambah satu lagi koleksi baharu Mercedes-AMG One yang baru saja diperkenalkan di peringkat global sebelum ini dan sudah memasuki barisan pengeluaran selepas beberapa halangan.
View this post on Instagram
Bayangan itu dikukuhkan lagi menerusi Instagram stories TMJ yang menunjukkan imej Mecedes-AMG One dengan satu perkataan ‘done’.
Model “P One Edition” tersebut dikhaskan buat pembeli AMG One yang menunggu kereta mereka lebih lama daripada jangkaan. Model itu ditawarkan sebanyak 275 unit sama dengan bilangan keluaran AMG One.
Difahamkan, harga jualan Mercedes-AMG GT Black Series P One Edition bakal menelan kos tambahan €50,000 (RM234,912) terhadap harga AMG GT Black Series.
Mercedes-AMG GT Black Series P-One berbeza dengan siri hitam lain yang didatangkan warna seragam dua rona warna perak dan hitam dengan aksen hijau Petronas di luar dan dalam. Bahagian roda juga didatangkan dengan teal warna hijau tersebut.
Secara spesifik, Mercedes-AMG One menggunakan enjin PU106C 1.6 liter V6 turbo yang digunakan pada jentera F1 Nico Rosberg namun ditala untuk kegunaan jalan biasa. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 574PS @ 9,000rpm atau output spesifik 354hp setiap liter.
Ia menggunakan sehingga empat motor elektrik, dua daripadanya dikhaskan untuk gandar depan dengan kuasa gandingan 322hp, motor ketiga pula dipasang pada enjin dengan kuasa 161hp, sementara motor keempat pula diletakkan pada unit pengecas turbo yang menambah 121hp.
Janakuasa yang sudah mematuhi emisi Euro 6 itu secara keseluruhan menghasilkan kuasa 1,048hp yang kemudian dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac tunggal.
Pecutan dari 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 2.9 saat manakala pecutan sehingga 200kmj dilakukan dalam tempoh tujuh saat dan 15.6 saat (300kmj). Supercar itu mampu mencapai kelajuan maksimum 352kmj.
Menggunakan casis monokok, AMG One masih lagi mengekalkan binaan skup bumbung yang disambungkan dengan sirip tengah, rekaan lampu depan LED yang nipis, spoiler dan diffuser besar serta tip ekzos diinspirasikan daripada jentera F1.
Mercedes-AMG tidak mengumumkan harga namun begitu Mercedes-AMG One dijangkakan dijual pada harga €2.17 juta (RM10.2 juta). Angka tersebut ketika supercar itu didedahkan pada 2017 ada kemungkinan harganya akan meningkat.
Di samping itu, TMJ seolah memberi petunjuk koleksi kenderaan baharu yang bakal menyertai barisan koleksi kereta yang lain menerusi Instagram stories antaranya model Rolls Royce dan hypercar Bugatti dengan nombor siri 1 daripada 500 unit.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar