Michael Schumacher meraikan ulang tahun ke-52 pada 3 Januari lalu dan pelumba legenda itu mengalami kecederaan kepala yang teruk ketika kemalangan ski pada 2013 di Switzerland.
Hampir sedekad, Schumacher vakum dari publik dan media, tiada siapa mengetahui kondisi sebenar pelumba yang digelar sebagai Schumi itu.
KOLEKSI JENTERA F1
Namun, pada 2014 dilaporkan bekas pelumba Ferrari itu lumpuh dan duduk di kerusi roda selepas koma begitu lama.
Sebagai salah seorang pemandu F1 paling berjaya sepanjang zaman, Schumacher juga antara atlet yang terkaya. Seperti kebanyakan atlet lain, dia memiliki koleksi kereta antaranya supercar dan beberapa kereta F1 paling ikonik yang pernah dipandunya.
Kereta F1 tertua yang dimiliki oleh Schumacher ialah Formula Ford (1988) yang bernilai lebih daripada AS50,000 (RM219,700). Dia juga memiliki kereta debut F1, Jordan 191 (1991) yang merupakan salah satu kereta paling dikenali dalam sukan pemotoran tersebut.
Antara koleksi lain jentera F1 miliknya termasuk Ferrari F310, F1 (2000), F1 (2004), F1 (2002), 248 F1 dan Mercedes GP F1.
Mercedes F1 yang dimilikinya adalah jentera lumba terakhir yang dipandu sebelum bersara. Selain itu, Schumi juga memiliki pelbagai supercar di garajnya dan tidak mengejutkan kebanyakan daripadanya adalah Ferrari.
FERRARI FXX EDISI KHAS
Dia memiliki Sauber Mercedes-C291, Ferrari Enzo, Mercedes SLS-AMG, Ferrari 599 GTB, 430 Scuderia dan Ferrari California. Namun, jentera paling mahal yang dimiliki Schumacher ialah Ferrari FXX.
Model itu dikeluarkan hanya 30 unit di dunia dan Schumacher merupakan pemilik terakhir supercar berkenaan.
Program FXX Ferrari adalah program eksklusif berbanding program Ferrari lain termasuk Enzo. Schumi diberi edisi khas ‘Michael Schumacher’ FXX, dihiasi sepenuhnya dalam warna hitam.
Ia adalah satu-satunya FXX serba hitam kerana kebanyakan pemilik lain menggunakan warna badan merah atau kuning.
Namun, hasil jejak digital yang dijalankan Motoqar mendapati supercar berkenaan disenaraikan untuk jualan pada pertengahan 2013 oleh Garage Zenith bersama model Enzo miliknya.
Senarai jualan itu beberapa bulan sebelum insiden yang menimpa Schumacher pada bulan Disember tahun sama. Alasan supercar tersebut dilepaskan tidak diketahui.
Kedua-dua supercar itu dibina kustom untuk Schumacher bahkan diberikan secara percuma oleh pengeluar Itali berkenaan.
Ferrari FXX dengan perbatuan 900km itu pernah muncul dalam episod Top Gear (2009) yang mana pelumba F1 itu memandu FXX di litar ujian Top Gear di Dunsfold Aerodrome.
Supercar dengan nombor 30 yang bernilai sekitar AS2.67 juta (RM11.7 juta) itu satu-satunya FXX yang menggunakan kemasan merah pada rim dan jalur putih selain warna badan hitam, tip ekzos matte berbanding krom dan logo peribadi Schumacher pada kerusi.
Supercar keluaran Januari 2005 itu didatangkan dengan enjin 6.3 liter V12 yang menghasilkan kuasa 799hp @ 8,500rpm dan tork 686Nm @ 5,750rpm. Menggunakan gentian karbon pada keseluruhan badan, model itu merupakan pacuan roda belakang.
Michael takes Zinedine Zidane for a drive in his @Ferrari FXX around the circuit in Magny-Cours on 30/6/07 #TeamMichael #KeepFighting pic.twitter.com/N7r0OiJXE8
— Michael Schumacher (@schumacher) June 30, 2017
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar