Toyota Agya dan Daihatsu Ayla (Perodua Axia) bakal menerima naiktaraf serba baharu dan bukan sekadar facelift. Model generasi generasi kedua itu direncanakan akan hadir pada awal 2023 mendatang.
Menurut laporan portal Autofun, sumber dalaman Daihatsu memberitahu Toyota Agya/Daihatsu Ayla menggunakan kod projek D74A yang mana akan memulakan pengeluaran massa pada Mac tahun depan.
Seperti mana Toyota Veloz dan Daihatsu Rocky, hatchback kompak itu akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Walaupun tidak dimaklumkan secara spesifik perubahan yang dijalankan, sumber mendakwa hatchback itu bakal jauh berbeza dengan model sedia ada.
Bahkan dimensi keseluruhan model dikatakan bakal bertambah dan ujian perlanggaran sudah dijalankan di Jepun tahun ini. Soal teknikal, walaupun masih belum ada makluman tambahan, dijangkakan hatchback itu bakal menggunakan enjin 1,200cc WA-VE seperti Raize-Rocky 1.2.
Enjin 3-silinder dengan tenaga 88PS dan tork 113Nm itu bakal menggunakan transmisi D-CVT, bukan 4-kelajuan automatik seperti model sekarang.
Sementara itu, Funtasticko menjelaskan Perodua Axia (D74A) itu dikatakan bakal didatangkan dengan empat pilihan varian di Malaysia iaitu G, X, SE dan AV, yang berbeza dengan pilihan varian sedia ada.
Pembangunan projek Axia (D74A) itu diterajui Perodua dengan kerjasama Daihatsu dan Toyota. Ini bermakna kembar Axia 2023 (D74A) akan berkongsi reka bentuk sama, dengan identiti wajah keluarga serta spesifikasi berbeza.
Jelasnya, secara keseluruhan reka bentuk Axia (2023) cenderung ke arah ‘rekaan selamat’ yang mana akan dilengkapi dengan lampu depan jenis LED dan rekaan lampu belakang melintang.
Rekaan dalaman dikatakan ‘lebih menarik’ dengan penggunaan meter jenis digital sepenuhnya dan paparan unit infotainmen ‘terapung’ bersaiz besar. Namun, hanya ‘dua varian tertinggi sahaja’ akan dilengkapi dengan ciri tersebut.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
Alza terbaru bila nak lancar?