Cerita tentang supermoped Modenas sudah lama namun berita itu kembali hangat sepanjang 2015 hingga 2016.
Dua tahun lalu penulis pernah ‘sembang kosong’ dengan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan tentang supermoped tersebut.
Ketika itu katanya projek moped berkenaan masih berjalan yang mana Modenas sedang melakukan tambahbaik dan merekabentuk semula motor tersebut sesuai dengan trend semasa.
Dengan penambahan pegangan saham Kawasaki Heavy Indusries (KHI) dalam Modenas, mungkin ramai yang menyangka model itu bakal berkubur.
Jawapannya tidak gais!, menurut Roslan projek supermoped itu tidak dihentikan. Cuma projek terdahulu yang menggunakan enjin kejuruteraan Austria dihentikan.
“Model dah lama 2012 tak silap saya, tidak penuhi regulasi Euro4, jadi kita start baru dengan partner (Kawasaki) baru,” katanya pada sidang media.
ENJIN 150-180cc
Soalannya, kenapa perlu dibangunkan semula? Bukankah jutaan ringgit sudah dilaburkan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) model berkenaan di Austria?.
Ada kemungkinan pembangunan semula enjin supermoped 150cc itu kerana gagal mematuhi regulasi yang ditetapkan disebabkan enjin karburator yang digunakan.
“Tidak pakai yang lama, enjin berkenaan dibangunkan untuk sesaran 150 hingga 180cc. Kita bina dari kosong tak naik taraf enjin lama,” katanya.
Roslan berkata proses R&D supermoped itu mengambil masa dua tahun yang mana ketika ini pembangunan motor masih di fasa awal.
“Kami tidak akan menghentikan model ini. Kami akan menceburi segmen ini. Seperti saya katakan, segmen ini mencatat pertumbuhan paling pantas berkembang pasaran moped.
“Untuk Modenas bangkit dan bergerak ke depan tahun-tahun akan datang dengan Kawasaki sebagai rakan kami, sudah tentu kami akan sertai segmen ini. Jika terus kekal dengan segmen lebih kecil, ia tidak cukup,” jelasnya.
Walaupun Modenas agak lambat menyertai pembahagian kek segmen moped tersebut namun dengan penglibatan Kawasaki bakal memberi harapan baru buat peminat yang sekian lama menantikan Ahmad.
Siapa sangka supermoped dengan sentuhan Kawasaki itu bakal menjengah pasaran Asia Tenggara lain jika mendapat sambutan hangat di Malaysia selepas pelancaran. Kita nantikan kemunculannya dua atau tiga tahun mendatang!.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar