Modenas sudah memulakan pemasangan tempatan model Kawasaki di kemudahan syarikat tersebut di Gurun Kedah.
Ketika lawatan kilang bersama media sebentar tadi, Modenas sudah menghasilkan 20 unit Kawasaki Ninja 250 ABS dan non ABS serta memulakan aktiviti pemasangan Z250 ABS.
Menerusi pemerhatian kami di barisan pengeluaran Kawasaki F03, Ninja 250 didatangkan dengan warna badan hitam dengan jalur grafik emas manakala Z250 pula dipadankan dengan warna badan merah gelap. Selain itu, warna badan lain yang bakal ditawarkan adalah kelabu dan hitam.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan turut mendedahkan barisan produk Kawasaki untuk pasaran tempatan.
“Tahun ini kami akan perkenalkan empat model CKD dan tiga model CBU. Kesemua model ini akan diperkenalkan menjelang hujung tahun ini,” katanya pada sidang media.
Empat model CKD yang bakal dilancarkan tahun ini adalah:
- Ninja 250 ABS/non ABS
- Z250 ABS
- Vulcan S650
Sementara model CBU yang bakal lancar tahun ini adalah:
- Ninja 1000 SX
- ZX-10R
- Versys 1000 SE
- Z900RS
Selain itu, model baharu CKD yang bakal lancar tahun depan adalah Versys 650 dan Versys X-250. Manakala model CBU yang akan menjengah pasaran Malaysia pada 2023 pula adalah ZX-6R dan Versys 1000.
Semua model CBU untuk pasaran Malaysia dipilih oleh Ketua Pegawai Pemasaran Modenas, Kashiwagi Yusaku selepas membuat survei keadaan Malaysia dan selera penunggang tempatan.
“Ramai pelanggan di Malaysia suka tunggang jarak jauh. Jadi, Ninja 1000 dan Versys 1000 amat sesuai untuk pasaran ini.
“Malaysia juga ada litar antarabangsa di Sepang dan saya sudah berkunjung menyaksikan perlumbaan Cub Prix. Saya dapati ramai pelanggan Malaysia berminat dalam segmen supersport. Jadi, saya pilih ZX-10R dan ZX-6R,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar