Kebanyakan pemilik kenderaan terutamanya model ‘panas’ bimbang untuk meletakkan kereta mereka di ruangan parkir awam semalam kerana memudahkan lagi kerja pencuri.
Tetapi pemilik BMW dari Jerman ini berdepan pengalaman lebih buruk yang mana model 3 series miliknya hampir ‘bogel’ apabila beberapa komponen dirembat pencuri hanya dalam satu malam.
Menerusi imej yang dikongsi, keseluruhan komponen bahagian depan seperti hud, bampar dan lampu depan ditanggalkan pencuri.
Menariknya, kegiatan itu tidak berakhir di situ tetapi diteruskan pada ruangan kabin. Kereta itu kehilangan keseluruhan bahagian papan pemuka, stereng, kluster instrumen, skrin infotainmen, tombol gear dan konsol tengah serta beberapa kemasan pada pintu.
Bukan itu saja, beberapa bahagian dalam enjin turut dirembat pencuri menyebabkan kereta itu terkandas di tempat kejadian. Biasanya pencuri di sana menyasarkan rim atau penukar pemangkin ekzos tetapi dalam kes ini mereka memiliki pelan tambahan.
Pemilik berusia 22 tahun itu meninggalkan keretanya semalaman dan keesokkan paginya dua individu yang melihat kereta itu hampir tinggal rangka melaporkan kepada polis dalam kejadian yang berlaku di daerah Lindenplatz, Jerman itu.
Menerusi sisa komponen dalam kabin, boleh diketahui model tersebut adalah 3 series (F30) generasi keenam yang dikeluarkan antara 2012 dan 2018. Pemilik mengalami kerugian sekitar euro 22,000 (RM101, 448).
Walaupun perlu mengeluarkan wang besar untuk menggantikan komponen yang hilang namun lebih masuk akal lebih baik dia membeli kereta baharu.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar