Mercedes-Benz Malaysia melancarkan model plug-in hybridnya menerusi GLC 300 e 4MATIC Coupe ke pasaran tempatan.
Model yang melakukan pemasangan tempatan (CKD) itu ditawarkan pada harga RM374,073 sehingga berakhirnya pengecualian cukai SST pada 30 Jun 2022. Namun, bermula 1 Julai ini, harganya lebih mahal yang mana ia dijual RM398,888.
Luaranya terutama bahagian hadapan, SUV coupe itu diserlahkan dengan gril radiator bersama kemasan integrated star, corong pengambilan udara. Ia dipasang dengan lampu utama MULTIBEAM LED bersama ciri Adaptive Highbeam Assist.
Sentuhan kit badan AMG Line dan Night Package
Ia juga menerima sentuhan kit badan AMG Line dan Night Package yang merangkumi rim aloi lima jejari AMG bersaiz 20 inci yang mana dibahagian dalamnya dilengkapi cakera brek lebih besar.
Ruang kabin pula tampak mewah dan kemas dengan gabungan warna gelap serta kulit ARTICO berwarna coklat membaluti tempat duduknya. Ia kemudian dikontraskan dengan kemasan perak pada papan pemuka, corong pendingin hawa dan hendal pintu.
Konsul tengahnya, ia dihiasi dengan kemasan kayu gelap dan diceriakan lampu ambien menjadikan ruang ini semakin elegan.
Pemandu boleh mengawal operasi kenderaan menerusi pad sentuhan pada konsol tengah. Manakala kluster instrumen digital disepadukan bersama skrin infotaimen sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX).
Bagi membezakan dengan enjin pembakaran biasa, GLC 300 e 4MATIC Coupé dikuasakan enjin 2 liter turbo yang dipadankan bersama motor elektrik.
Salur 700Nm, padu beb!
Ia menyalurkan output 320PS dan tork 700Nm yang mana pecutan 0-100km/j hanya 5.7 saat dengan kelajuan maksimum adalah 230km/j. Jentera itu juga boleh dipandu sejauh 40km dengan kuasa elektrik sepenuhnya dengan kelajuan maksimum boleh mencecah 140km/j.
Dari segi keselamatan, GLC 300 e 4MATIC Coupé didatangkan dengan ciri Active Lane Keeping Assist, Blind Spot Assist, Active Brake Assist, Parking Package (kamera 360), Active Parking Assist dengan PARKTRONIC, URBAN GUARD serta sistem penggera anti-kecurian.
Bagi memudahkan urusan mengecas, GLC 300 e 4MATIC Coupé didatangkan bersama kabel pengecasan. Dikenali sebagai kabel Mode 2, ia boleh disambungkan dengan soket di rumah.