Perodua membuka tempahan Perodua Alza serba baharu dengan penambahbaikan signifikan bagi segmen MPV kompak tersebut.
Pasaran Malaysia akan ditawarkan dengan tiga pilihan varian iaitu X, H dan AV bersama lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, Elegant Black (baharu) dan Vintage Brown (baharu).
Harga jualan MPV berkenaan antara RM62,000 dan RM75,000 (tanpa insurans dan cukai jualan). Menerusi imej yang dikongsi Alza ditawarkan dengan enjin EEV 1.5 liter VVT-i bersama transmisi D-CVT.
Berikut 11 fakta ringkas perlu anda tahu tentang Perodua Alza (2022):
- Alza menyediakan ruang yang lebih luas untuk penumpangnya dan pada masa yang sama meningkatkan kestabilan pemanduan.
- MPV itu memiliki ruang lebih besar berbanding model sedia ada terutamanya di barisan ketiga serta unit penyaman udara bahagian belakang.
- Kecekapan penggunaan bahan api dipertingkatkan sehingga 22km/liter, antara terbaik dalam kelasnya.
- Ruangan simpanan but 137 liter boleh ditingkatkan kepada 498 liter apabila tempat duduk barisan ketiga dilipat sepenuhnya.
- Kesemua varian Alza didatangkan dengan enam beg udara.
- MPV kompak itu dilengkapi dengan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang boleh dibahagikan kepada empat kategori; Bantuan Keselamatan Termaju (ASA), Bantuan Pemandu, Bantuan Parkir dan BantuanLampu Depan.
- Bantuan Keselamatan Termaju (ASA) ditawarkan pada semua varian termasuk amaran pra perlanggaran, bantuan brek pra perlanggaran (kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan amaran tukar lorong.
- Ciri-ciri terkini lain yang ditawarkan termasuk kamera 360, brek parkir elektronik dengan autohold dan brek cakera belakang.
- Alza juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power.
- Antara ciri keselamatan standard lain termasuk Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang.
- Semua varian dilengkapi dengan sistem Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention. Sebagai bonus tambahan, semua varian ditawarkan dengan fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan bantuan penghidup bukit.
- Selain itu, varian H dan AV menerima paparan skrin infotainmen bersaiz 9-inci dan skrin TFT bersaiz 7-inci. Sementara varian X dan H ditawarkan dengan kerusi kemasan fabrik dan varian tertinggi dwi tona separa kulit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pihak syarikat mengambil masa merekabentuk MPV tersebut bagi memenuhi kehendak pelanggan.
“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu kami tambah baik jarak kelegaan Alza kepada 160mm yang mana ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar