Tempoh penghantaran Perodua Alza kepada pelanggan mencapai 10 bulan yang mana sejak pembukaan tempahan bulan lalu pengeluar kenderaan kedua nasional negara itu menerima 30,000 tempahan.
Daripada jumlah berkenaan sebanyak 65 peratus disumbangkan varian AV. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pihaknya cuba mengurangkan tempoh menunggu tersebut.
“Pengeluaran Alza dipasang di kilang lama bersama model Myvi dan Aruz, barisan pengeluaran Aruz adalah rendah jadi kita boleh sesuaikan dengan kurangkan pengeluaran Aruz.
“Secara purata kilang pengeluaran mampu menghasilkan sekitar 3,000 unit Perodua Alza sebulan atau 36,000 unit setahun,” katanya.
Selain itu, Zainal Abidin menyatakan penghantaran stok Alza bermula 12 tengah hari bermula hari ini dan sudahpun menyediakan 4,300 stok sedia ada.
Di samping itu, Zainal Abidin memberitahu sebanyak 243,000 unit kenderaan Perodua masih belum dihantar kepada pelanggan.
“Berdasarkan perkiraan awal kami, untuk mencapai sasaran 243,000 unit tempahan ini, kami perlu mengeluarkan 26,000 unit sebulan bagi tempoh Julai hingga Disember. Jumlah jualan bagi Januari hingga Jun pula adalah 127,000 unit,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar