Proton menerusi akaun Facebooknya berkongsi penghantaran model X50 kepada pelanggan istimewa yang juga pengumpul koleksi jenama nasional itu.
Pemberian kunci Proton X50 kustom kepada Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah itu dilakukan di Pusat Kecemerlangan Proton Shah Alam.
SUV tersebut menerima beberapa pengubahsuaian yang dijalankan oleh jabatan khas Proton yang menjalankan kustom kenderaan, Automotive Conversion Engineering (ACE). Jabatan itu turut terlibat dalam projek kustom model Proton Tengku Sulaiman yang lain iaitu Perdana dan X70.
Proton X50 tersebut hadir dengan warna badan kuning yang tidak ditawarkan di pasaran. Kemudian, SUV itu didatangkan dengan grafik jalur hitam pada bonet depan, sisi badan dan hud belakang.
Rim 10-jejari berwarna krom melengkapkan penampilan SUV berkenaan bersama kemasan kuning pada gril hitam bahagian depan.
Perbezaan lain yang boleh dilihat pada fascia depan adalah pemasangan sepasang unit lampu LED di bahagian intake selain pemegang nombor plat khas yang menggunakan bingkai krom dengan imej helang di atasnya.
Pada bonet depan juga diletakkan hiasan kepala harimau. Sementara, bahagian belakang dikemaskan dengan bar krom tebal pada lencana Proton manakala perkataan Proton menggunakan warna kuning.
Lencana bendera Selangor diletakkan di sisi nombor plat serta logo S di sisi lencana X50. Sepasang lampu LED turut diletakkan pada bampar bawah dan tip ekzos berwarna emas.
Bahagian kabin pula menggunakan kemasan kayu pada bahagian stereng, konsol tengah dan papan pemuka. Aura sporty ditingkatkan dengan jahitan benang kuning pada kerusi kulit dan perehat tangan tengah.