Ford Motor Company, bersama rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) melancarkan Ford Ranger generasi baru untuk pasaran tempatan.
Ranger generasi baru ditawarkan dengan tujuh varian membabitkan XL, XLT, XLT Plus dan WildTrak. Sementara itu, Ranger Raptor berprestasi tinggi yang ditunggu-tunggu pula akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
Sebagai Ranger paling pintar, penuh kepelbagaian dan banyak fungsi, model generasi baru ini menawarkan trak pikap idaman pelanggan untuk tujuan kerja, keluarga dan riadah.
Reka bentuk dan kebolehan baru
Dari segi visual, Ranger generasi baru tampil penuh berani dan yakin, dengan reka bentuk luar tegap dan penuh tekad yang berkongsi DNA dengan rekaan trak global Ford.
Rekaannya menampilkan gril baru, lampu depan bentuk C yang sinonim dengannya, serta garis pintu halus bersama lengkung tayar yang lebih ketara, menampilkan Ranger yang lebih kukuh.
Buat pertama kali, Ford Ranger menawarkan lampu depan LED matriks (bagi WildTrak) dengan lampu tinggi automatik. Ciri ini turut ada bagi varian XLT Plus. Lampu belakang pula direka secara harmoni dengan imej wajah hadapannya.
Struktur depan hidroform menjadikan Ranger sentiasa bersedia untuk menerapkan teknologi akan datang. Ia juga membolehkan aliran udara lebih banyak ke radiator, yang akan membantu mengekalkan suhu sentiasa rendah ketika menarik mahupun membawa muatan berat.
WildTrak
Kendalian dan pemanduan yang ditambah baik
Bagi meningkatkan keseimbangan antara keselesaan ketika dalam perjalanan dengan prestasi seakan kereta, pasukan jurutera Ford memberi tumpuan kepada hal-hal asas.
Pertambahan jarak antara roda dan jejaknya sebanyak 50 mm pada Ranger generasi baru ini memeberikan kestabilan yang lebih baik.
Sudut mendekati (approach angle) di depan juga kini dinaikkan daripada 28.5-darjah kepada 30-darjah. Begitu juga dengan sudut perlepasan (departure angle) di belakang dinaikkan daripada 21-darjah kepada 23-darjah.
Jurutera juga meningkatkan kemampuan kawalannya dengan mengalihkan kedudukan suspensi belakang supaya lebih ke luar daripada landasan kerangka untuk memberikan pemanduan yang lebih terkawal, sama ada ketika trak membawa bebanan sarat atau sebaliknya.
Lebih banyak mod pemanduan
Jika sebelum ini hanya Ranger Raptor yang menawarkan pilihan mod pemanduan, Ranger generasi baru kini menawarkan sehingga enam pilihan mod berkenaan, bergantung kepada varian.
Mod ini mengubah segalanya, bermula dari pertukaran gear sehinggalah maklum balas pendikit, kawalan kestabilan dan cengkaman, ABS dan lain-lain.
- WildTrak – Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts serta Sand ketika off-road.
- XL hingga XLT Plus – Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery.
Ciri ruang dalam seakan kabin kereta
Di bahagian dalam, rekaan kabin yang lebih mirip kepada kabin kereta ditingkatkan lagi untuk Ranger generasi baru.
Aspek utama dalam pengalaman penghubung Ranger adalah skrin sentuh besar 10.1-inci atau 12-inci yang terbaik di tengah papan pemuka.
Ia melengkapi panel instrumen digital dan mengandungi sistem informasi, hiburan dan komunikasi SYNC® 4A pengaktifan suara terbaru oleh Ford.
Banyak kawalan mod pemanduan tradisional dialih dari papan pemuka dan berhampiran gear ke paparan tersendiri di skrin SYNC.
Dengan menekan hanya satu butang, pemandu boleh ke skrin khusus untuk semua mod pemanduan dan off-road, di mana pemandu dapat memantau sistem pacuan, sudut pemanduan, tahap bunyi kenderaan serta sudut pergerakan serta kawalan-kawalan lain.
Untuk WildTrak, skrin juga berhubung dengan kamera 360-darjah bagi memudahkan parkir di ruang sempit di bandar, serta memudahkan pemanduan di atas permukaan sukar ketika mengembara.
Pasukan pereka juga mewujudkan ruang penyimpanan pintar dan ciri berguna untuk pemilik, termasuk ruang untuk menyimpan telefon atau pengecasan tanpa wayar (untuk varian XLT Plus dan WildTrak) serta ruang simpan yang luas di bahagian konsol.
Enjin yang lebih lasak
Ford Ranger ini ditawarkan dengan dua varian enjin membabitkan:
- 2.0 liter BiT (tubro berkembar) – Mampu menyalurkan 210PS dengan tork setinggi 500Nm, selain dipadankan dengan transmisi automatik dengan 10 kelajuan.
- 2.0 liter SiT (turbo tunggal)- Menyalurkan kuasa maksimum sehingga 170PS dengan tork sejumlah 405Nm dengan dipadankan transmisi automatik enam kelajuan atau manual enam kelajuan.
Tahap keselamatan generasi baru
Dengan Ranger generasi baru menawarkan lebih ciri perlindungan kemalangan terkini dan teknologi bantuan pemandu yang terkehadapan, pelanggan boleh berasa lebih selamat dan yakin.
Evasive Steer Assist yang pertama dalam segmennya turut disertakan dalam WildTrak generasi baru. Sistem ini membantu pemandu untuk mengelakkan kemungkinan bertembung secara berhadapan dengan membantu pemandu mengelak dengan lebih cekap ketika pertembungan tidak boleh dielakkan hanya dengan brek.
Wildtrak dan XLT Plus hadir sistem Post-Collision Braking yang baru, yang mengaktifkan brek selepas pertembungan bagi mengurangkan risiko pertembungan kedua. Satu lagi ciri baru dalam Wildtrak adalah Adaptive Cruise Control dengan ciri Stop-and-Go, Cross Traffic Alert dan Reverse Brake Assist.
Sebagai sebahagian daripada kelengkapan keselamatan teknologi pintar untuk Ford Ranger generasi baru, sistem Automated Emergency Braking (AEB) pada Wildtrak dan XLT Plus turut dipertingkat dengan pengesan pengayuh basikal dan pejalan kaki, selain memberikan sokongan AEB di persimpangan dalam situasi tertentu.
Warna dan tambahan perkhidmatan selepas jualan
Ranger generasi baru menyediakan pilihan dua warna yang menarik
- Wildtrak – Sedona Orange dan Luxe Yellow
- Varian lain – Arctic White, Meteor Grey, Aluminium Metallic, Lightning Blue dan Absolute Black
Bagi memastikan pengalaman pemilikan yang hebat, SDAC-Ford turut memperkenalkan tambahan perkhidmatan lepas jualan baru.
Ini harga Ford Ranger mengikut varian:
-
Wildtrak – satu varian, dari RM168,888 (Peninsular Malaysia), dari RM174,388 (Sabah & Sarawak) – atas jalan, tanpa insurans dan cukai jalan
-
XLT Plus – satu varian, dari RM142,888 (Peninsular Malaysia), dari RM148,388 (Sabah & Sarawak) – atas jalan, tanpa insurans dan cukai jalan
-
XLT – dua varian, dari RM124,888 (Peninsular Malaysia), dari RM129,888 (Sabah & Sarawak) – atas jalan, tanpa insurans dan cukai jalan
-
XL – dua varian, dari RM108,888 (Peninsular Malaysia), dari RM114,888 (Sabah & Sarawak) – atas jalan, tanpa insurans dan cukai jalan