Seorang pemandu kereta mengalami kecederaan pada bahagian kepala manakala tiga yang lain terselamat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di KM336.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori tangki muatan simen yang dipandu lelaki berusia 28 tahun memasuki laluan bertentangan hingga menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, siasatan awal mendapati lori tersebut dipandu di lorong kiri melanggar pacuan empat roda Toyota Hilux.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan berkenaan menggelongsor ke depan lalu melanggar belakang Audi.
“Pada masa sama, kenderaan berat itu yang disyaki hilang kawalan melanggar penghadang di tengah lebuhraya lalu masuk ke lorong bertentangan (arah utara),” katanya.
Selain itu, lori tersebut turut melanggar belakang sebuah Toyota Yaris yang dipandu seorang wanita sebelum terbabas masuk ke longkang.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada lori yang dipandu laju hingga menyebabkan hilang kawalan. Hasil ujian urin mendapati pemandu lori negatif dadah dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar