Foto yang dikatakan sebagai risalah produk untuk Honda Civic Type R 2023 yang bakal dilancarkan bocor dalam talian dan dikatakan ia menyalurkan 326hp dengan tork setinggi 420Nm.
Dokumen itu dikongsi Tire Meets Road oleh sumber yang tidak dinamakan, jadi kesahihan risalah itu sukar untuk diketahui sama ada benar atau sebaliknya.
Berdasarkan perkongsian itu, pelanggan Jepun yang lain, seperti Azuso Ito, seorang penulis dan ilustrator, membuat tempahan untuk keretannya dan menerima maklumat produk sebagai hasilnya.
Ito berkongsi risalah itu dengan pengikutnya semasa strim langsung, namun sukar untuk memahami serta melihat apa yang dipaparkan akibat kualiti video.
Untuk makluman di Jepun dan Eropah, Honda Civic Type R keluaran sebelum ini menghasilkan 316 hp dan tork sejumlah 400 Nm.
Laporan sebelum ini, harga dan butiran tambahan mengenai Civic Type R (2023) akan diumumkan dalam masa terdekat yang dijangka dilancarkan pada musim luruh ini untuk pasaran Amerika Syarikat. Bagi pasaran Eropah pula, penghantarannya bermula pada tahun hadapan.
Honda masih lagi berahsia dengan harga serta jumlah output berhubung jentera berkenaan. Ia akan diumumkan sempena pada majlis perlancarannya nanti.
Jentera itu kini didatangkan dengan badan baru yang ringan dan sangat tegar membantu meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi dan tindak balas lebih responsif.
Seperti yang dijangka sebelum ini, ia menggunakan enjin 2.0 liter pengecas turbo yang digabungkan dengan transmisi manual enam kelajuan yang dipertingkatkan.