Sekumpulan penuntut kejuruteraan di Belanda mendedahkan sebuah prototaip ‘kereta neutral karbon’ pertama di dunia.
Kenderaan itu dikenali sebagai ‘Zem’, yang dibangunkan pasukan TU/ecomotive dari Universiti Teknologi Eindhoven di Belanda.
Jentera itu berkemampuan menyedut dan menyimpan karbon dioksida dari udara ketika dipandu di jalan raya.
Udara mengalir masuk melalui gril di bahagian hadapan kenderaan dengan melalui penapis yang boleh memisahkan dan menyimpan gas karbon dioksida itu.
Prototaip itu juga dibantu panel solar pada bumbung dan bonetnya, membolehkan ia digunakan sebagai bateri luaran untuk rumah.
Penapis yang ada pada Zem itu mencapai kapasiti selepas memandu kira-kira 200 batu, apabila ia mengumpul kira-kira 30g gas karbon dioksida.
Penapis boleh dibersihkan atau diganti dan tempat simpan karbon dioksida yang ditangkap dikosongkan semula ketika kereta elektrik sedang dicas.
Bagaimanapun, tiada perincian apa yang akan berlaku kepada gas selepas ia dikumpulkan daripada penapis itu. Berdasarkan projek sebelum itu, gas karbon dioksida itu digunakan untuk membuat bahan binaan dan serbuk penaik atau disimpan di bawah tanah.
Pasukan itu mendakwa bahawa sehingga dua kilogram karbon dioksida disedut untuk setiap 12,800 batu yang dilalui kereta setiap tahun.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar