Selepas hampir dua hari dilaporkan hilang, seorang lelaki ditemui meninggal dunia selepas kenderaannya ditemui terbalik di dalam gaung di kilometer 23 Jalan Jemaluang, Mersing pada pagi tadi.
Mangsa, Zahari Zakaria dilaporkan hilang oleh anaknya ketika memandu seorang diri dari Kemaman, Terengganu menuju ke Johor Baharu.
Siti Nurfaezah Zahari dalam satu perkongsian di Facebook, merayu orang ramai mencari bapanya yang memandu kereta Myvi biru selepas gagal menghubungi lelaki itu lebih 24 jam.
“Kami khuatir kereta ayah saya terbabas di sepanjang jalan laluan dari
Kemaman ke JB melalui laluan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang,” katanya yang sudah membuat laporan polis.
Seorang pengguna Facebook, Muhammad Syahrul Nizam memberitahu, Zahari sudah meninggal dunia selepas sebuah kereta Myvi berwarna biru ditemui orang awam dalam keadaan terbalik di dalam gaung di Kilometer 23 Jalan Jemaluang, Mersing pagi tadi.
Dia turut memuat naik beberap gambar kereta itu di dalam gaung dan sepasukan anggota Bomba yang berusaha mengeluarkan mayat mangsa.