Santai Anak Utara di MAEPS pada 3 September ini, kali pertama diadakan di luar Utara, sasar 100K peserta!

2316

Selepas dua tahun acara Santai Anak Utara (SAU) tidak dapat meneruskan akibat pendemik, program tahunan itu bakal kembali dengan lebih meriah dan besar sempena sambutan ulang tahun ke-10.

Program tahun ini adalah buat kali pertama SAU diadakan di luar Utara tanah air. Ia bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor pada 3 September ini.



Pengasas SAU, Mohd Safiuddin Elias berkata, sempena menyambut ulang tahun ke-10, pihaknya mahu membuat kelainan dengan mengadakan acara itu di luar Utara tanah air.

“Kami buat di MAEPS pada kali ini supaya ia lebih adil dan memudahkan peserta untuk datang, terutama mereka yang berada di Selatan dan Pantai Timur.

“Berdasarkan rekod penyertaan, peserta yang hadir sebelum ini boleh dikatakan 50 peratus dari Utara dan selebihnya dari tempat lain termasuk Lembah Klang, Selatan dan Pahang,” katanya ketika ditemui Baling, Kedah sempena program SAU Media Ride, baru-baru ini.

Hampir 10 media tempatan menyertai program itu dengan berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Baling, Kedah untuk mempromosi acara tahunan ke-10 SAU.

Wakil media turut menyertai program sambutan bulan Kemerdekaan di Sekolah Kebangsaan Pulai, Baling, Kedah, selain memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Iboi.

Untuk makluman, SAU buat kali pertama diadakan pada 2013 dan menjadi acara tahunan dengan menghimpunkan peminat jentera dua roda tanpa mengira jenama motosikal.

Galeri Gambar SAU Media Ride

Kehadiran pengunjung setiap tahun meningkat dan rekod tertinggi penyertaan adalah SAU 5.0 dengan kehadiran kira-kira 80,000 peserta.

Mohd Safiuddin yang lebih dikenali sebagai Acai berkata, bagi ulang tahun ke-10 SAU di MAEPS nanti, pihaknya menyasarkan kira-kira 100,000 peserta yang hadir.

Menurutnya, apa yang menariknya dengan SAU pada kali ini, ia adalah satu platform bimbingan dengan menganjurkan program safety ride serta turut mengadakan sembang dengan ikon permotoran.

“Kami turut menyediakan 11 motosikal untuk dijadikan cabutan bertuah yang mana hadiah utamanya adalah Kawasaki Z800 bernilai kira-kira RM25,000,” katanya.

Galeri SAU sebelum ini

Sementara itu Pengerusi SAU, Mohd Syauqi Ismail berkata, sambutan ulang tahun ke-10 SAU bakal diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan berilmiah.

Menurutnya, selain perhimpunan motosikal, pihaknya juga menganjurkan acara Belia Prihatin Negara.

“Ia bertujuan menghimpunkan rakyat Malaysia bagi memupuk semangat cintakan negara sempena bulan kemerdekaan.

“Pada masa sama, kami juga mengetengahkan aktiviti permotoran dalam bentuk sihat dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here