Harga petrol Bangladesh naik: “Tiada pilihan, saya mungkin mengemis lepas ini..”

1597

Bangladesh merupakan antara ekonomi paling pantas berkembang, dan harga bahan api  meningkat lebih 50 peratus dalam masa seminggu. 

Dhaka menyalahkan perang di Ukraine sebagai punca kenaikan mendadak harga bahan api termasuk petrol, diesel dan gas. Ribuan penduduk berarak di jalanan yang menunjukkan sebuah lagi negara Asia Selatan menghadapi krisis kewangan yang semakin meningkat.

Mohammad Nurul Islam

Seorang penduduk Dhaka, Mohammad Nurul Islam berkata, dia bimbang kerana berkemungkinan terpaksa mengemis sedikit masa lagi sekiranya harga barang dan komoditi asas terus meningkat.



Kenaikan harga bahan api di luar jangkaan itu menyaksikan harga petrol di Bangladesh meningkat daripada 86 taka (RM4.06) satu liter kepada 130 taka (RM6.07) seliter. Harga diesel dan minyak tanah pula meningkat 42.5 peratus.

Seorang penduduk yang beratur untuk mengisi petrol trak untuk menghantar sayuran, Mohammad Nurul Islam berkata bimbang hidupnya akan berakhir sebagai pengemis jika harga barang dan komoditi terus meningkat. 

Kenaikan mendadak itu menyebabkan Mohammed, 35, yang bekerja untuk sebuah syarikat pengangkutan sejak sembilan tahun lalu bergelut untuk membeli barangan asas.

Dia yang perlu menyara kedua ibu bapanya dan dua orang anak menjelaskan majikannya tidak mampu untuk membayar gaji penuh susulan kenaikan harga bahan api.

“Apabila ke pasar saya tidak dapat membeli makanan yang cukup untuk keluarga. Jika harga minyak terus meningkat seperti sekarang saya tidak boleh menjaga kedua ibu bapa dan menghantar anak ke sekolah.

“Jika kehilangan pekerjaan, saya mungkin terpaksa mengemis di jalanan,” katanya.

BAKAL BERDEPAN NASIB SAMA SRI LANKA

Bukan saja Mohammad bahkan 168 juta rakyat lain turut mengalami nasib sama. Seperti banyak negara lain, Bangladesh menerima impak daripada kenaikan harga minyak global berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

“Kita tahu kenaikan harga adalah besar, tetapi apa yang boleh kita lakukan jika kos bahan api meningkat di negara luar?,” kata Menteri Tenaga Bangladesh, Nasrul Hamid. 

Menafikan tuduhan salah urus ekonomi oleh kerajaan, Nasrul Hamid berkata pihak kerajaan  memberikan subsidi untuk mengelak kenaikan pada masa lalu, tetapi kenaikan itu tidak dapat dielakkan lagi buat masa ini. 

“Sekiranya harga global turun pada tahap tertentu, kami akan cuba membuat beberapa pelarasan,” katanya.

Selepas berita kenaikan itu diumumkan minggu lalu, beribu-ribu penduduk membantah di stesen minyak seluruh negara yang mengingatkan kepada insiden di Sri Lanka. 

Protes di Bangladesh berlaku secara sporadis, tetapi kemarahan dan kebencian semakin memuncak. Nasrul Hamid percaya negaranya dapat menghindari nasib seperti Sri Lanka, walaupun kejatuhan rizab mata wang asing.

Pada Julai, Bangladesh yang ekonominya dipuji sebagai salah satu yang paling pesat berkembang di dunia – menjadi negara Asia Selatan ketiga yang mendapatkan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa, selepas Sri Lanka dan Pakistan.

Tetapi bagi Mossammad Zakia Sultana yang hampir tidak mampu membayar tambang bas untuk membawa anaknya sakit mendapatkan rawatan menjelaskan sebarang bantuan mungkin terlambat.

Tambang pengangkutan awam meningkat kerana kos bahan api yang melambung tinggi, sehinggakan dia terpaksa memilih perjalanan penting saja. 

“Bukan sahaja tambang bas meningkat, harga segala-galanya di pasaran juga meningkat sehingga menyukarkan saya untuk menguruskan perbelanjaan keluarga.

“Bukan setakat tambang bas. Beca dan pengangkutan lain juga naik, jadi semakin sukar untuk keluar rumah,” jelasnya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here