Penghujung tahun lalu banjir yang melanda Selangor dan Kelantan memusnahkan harta benda yang mengakibatkan kerugian besar kepada mangsa.
Bahkan, kejadian yang berlaku pertama kali di beberapa kawasan menyebabkan kenderaan penduduk ditenggelami banjir. Sehingga kini tidak diketahui kondisi dan berapakah bilangan kenderaan banjir yang sudah dibaikpulih sepenuhnya.
Seorang pemilik Proton Saga berkongsi di grup Facebook Proton Saga Community Malaysia bahawa dia perlu menunggu lapan bulan untuk sedan itu baikpulih sepenuhnya.
Amirul Najmie menghabiskan RM17,000 bagi kos baikpulih tersebut. Bagaimanapun, dia beruntung kerana mengambil insurans perils (bencana alam) yang disyorkan oleh wakil penjual insurans ketika memperbaharui cukai jalan.
Jelasnya, kos baik pulih itu ditanggung sepenuhnya pihak insurans dan mengambilmasa yang lama kerana kekurangan stok beberapa komponen.
“Masalah lambat tiada TCU (unit kawalan transmisi) dan banyak kereta yang tenggelam banjir,” jelasnya menambah harga seunit TCU sekitar RM3,000.
Selain itu, tambahnya ada juga beberapa komponen buatan luar negara yang membuatkan proses baikpulih semakin panjang.
Salah seorang ahli grup turut berkongsi keretanya mengambilmasa enam bulan untuk disiapkan selepas banjir.
Manakala seorang lagi ahli grup kurang bernasib baik setelah sembilan bulan Saga miliknya masih belum dibaiki sepenuhnya bahkan beberapa bahagian badan sudah berkarat.