Tidak mahu pertambahan kejadian kemalangan, Kelab Jembara Al-Falah memutuskan untuk membaiki sendiri jalan rosak di Lorong 93, Taman Sungai Isap 2, Kuantan, Pahang.
Pengerusinya, Abdul Rahim Othman berkata, jalan berlubang itu menyebabkan tiga kemalangan membabitkan motosikal selain kereta milik penduduk mengalami kerosakan rim dan tayar kerap pancit.
“Bila kami tengok jalan ini belum dinaiki, kami ambil keputusan untuk baiki sendiri, kami guna duit kelab beli tiga kilogram tar untuk tutup dan tampal jalan yang berlubang.
“Kalau ikutkan memang tidak cukup tetapi sekurang-kurangnya dapat menutup lubang dan tiada lagi kemalangan berlaku,” katanya.
Menurutnya, tindakan mereka bukanlah untuk melangkaui tugas pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), namun atas rasa prihatin dan tanggungjawab mereka sebagai penduduk di kawasan perumahan di sini.
Jelasnya, mereka menutup dan menampal jalan berlubang yang merupakan jalan utama ke Taman Sungai Isap Jaya itu mengikut kemampuan mereka bagi mengelak kemalangan berulang di kawasan itu.
“Jangan kecam kami, kami bukan pakar dalam kerja baiki jalan tetapi kami hanya ingin membantu, tiada niat lain.
“Saya harap, apa yang kami usahakan sebagai penduduk di sini diterima baik oleh Ahli Majlis MBK untuk bertindak segera bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna, janganlah tunggu kemalangan maut baru hendak baiki,” jelasnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar