“Ukur baju di badan sendiri,” tidak salah untuk memasang impian memiliki kenderaan lebih besar dan selesa, namun pertimbangan paling utama adakah anda mampu?.
Agar tidak membebankan di kemudian hari, anda perlu membuat kiraan jumlah gaji tahunan atau pastikan bayaran bulanan tidak lebih 15 peratus daripada gaji bersih.
Seperti mana perkongsian seorang doktor ini yang terpaksa melepaskan Volkswagen Passat B8 Highline dan menggunakan Proton Perdana terpakai.
Menerusi akaun Facebook miliknya, Mohamed Ridzuan berkongsi sebelum ini dia berbangga memiliki kenderaan Jerman tersebut.
“Namun hutang sampai RM160,000 lebih, demi masa depan anak-anak kita pun berkorbanlah pakai Proton second hand je.
“Alhamdulillah tak payah fikir nak bayar bulan-bulan hampir RM2,000. Bahaya kalau kena racun dengan kereta German. Terus lupa tak sedar diri,” tulisnya.
TAK FIKIR PANJANG
Menurut portal MStar, Ridzuan memutuskan untuk membeli kereta baharu bagi menggantikan Perodua Viva miliknya pada 2019.
Justeru itu, dia mengunjungi beberapa pusat jualan bagi memandu uji model pilihan antaranya Honda, Toyota, Mazda, Hyundai dan Volkswagen.
“Apabila cuba Volkswagen saya terus tertarik dengan Passat yang laju dan kawalan stereng yang mantap. Tanpa fikir panjang saya terus menempah kereta itu,” katanya.
Sedan itu dibeli ketika memiliki seorang cahaya mata dengan bayaran deposit sebanyak RM6,000. Dia membeli kereta itu pada harga RM195,000 dan bayaran insurans RM5,000.
“Saya beli kereta itu memang fikir untuk enjoy saja. Pada masa itu saya ditawarkan rebat sebanyak RM20,000 dan membuat pinjaman RM170,000,” katanya.
Ridzuan perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM2,000 dengan pendapatan RM5,000 hingga RM6,000 ditambah sumber sampingan membuat locum swasta sebanyak RM2,000.
Ketika itu dia masih tidak menyedari sebenarnya tidak layak membeli kenderaan tersebut. Dia mula sedar apabila komitmen hidup semakin bertambah kerana waktu itu dia menambah sebuah lagi aset rumah selain bakal menimang cahaya mata kedua.
“Awal Mac saya membuat keputusan jual Passat dan iklankan di Facebook untuk mencari pembeli walaupun berat hati lepaskan. Sebulan kemudian kereta terjual tetapi perlu tambah RM30,000 pada bank kerana harga jualan lebih rendah berbanding baki hutang.
“Kemudian saya cari kereta terpakai untuk gantikan kereta itu. Saya perlukan kereta besar supaya lebih selesa untuk bawa keluarga. Alhamdulilah saya jumpa Proton Perdana (2017) berharga RM60,000,” katanya yang menjual Passat April lalu pada harga RM120,000.
MASIH SETIA DENGAN SEDAN
Susulan tularnya perkongsian artikel MStar itu, Ridzuan turut memuatnaik status di akaun Facebooknya yang menjelaskan memiliki selera kereta abah-abah.