Cara selamat simpan kunci kereta, pemilik Tesla ini implan cip pada tangan

858

Seorang pemilik Tesla memutuskan cara selamat dan mudah untuk menyimpan kunci kereta Tesla miliknya dengan menanam cip di bahagian tangan kanan. 

Itu merupakan cip kedua Brandon Dalaly. Dia berkongsi tidak menggunakan sebarang ubat tahan sakit mahupun  anestesia ketika menanam cip pertama di tangan kiri.



“Yang pertama sedikit lebih kecil jadi penindik tidak perlu membuat lubang atau menggunakan alat besar untuk membuat laluan bagi cip tersebut masuk. Cukup hanya menggunakan picagari lebih besar.

“Mereka menolak picagari ke dalam lalu memasukkan cip tersebut iaitu cara sama menanam cip pada anjing,” katanya. 

Namun, implan cip pertama terbakar dan dia perlu menahan sakit kira-kira sebulan. Bagaimanapun, Brandon memilih ubat bius lidocaine bagi menanam cip kedua yang menggunakan jarum empat tolok. 

Cip berkenaan disalut dengan bahan bioserasi seperti biopolimer sementara cip yang pertama diperbuat daripada bioglass. Sebaik sahaja cip itu ditanam, tisu badan akan membungkus sendiri peranti tersebut.

MENGAPA PERLUKAN DUA CIP

Mengapa Brandon memerlukan dua cip?, jelasnya yang pertama digunakan untuk pelbagai tujuan seperti kawalan akses (kunci rumah), menyimpan data atau menyimpan mata wang kripto.

Lampu cip warna hijau berkenaan juga boleh dilihat menyala di bawah kulit Brandon. Ia boleh diimbas dengan mana-mana telefon pintar yang kemudian akan membuka portal yang membolehkan individu mengakses maklumat yang disimpan. 

Sementara bagi kunci Tesla, Brandon salah seorang yang dipilih menguji cip beta tersebut. Cip VivoKey Apex berkenaan merupakan cip elemen selamat NFC (near-field communication) tanpa sentuhan.

“Saya berada dalam kumpulan beta sekitar 100 orang dan yang ini boleh melakukan transaksi selamat dan applet kad java.

“Syarikat yang menawarkan servis ini memiliki gedung aplikasi sendiri yang mana pengguna boleh memasang aplikasi tanpa wayar ke dalam badan menerusi cip ini. 

“Salah satu aplikasinya adalah kad kunci Tesla. Jadi, itu adalah aplikasi pertama yang saya pasang kerana memiliki Tesla dan kini saya gunakannya sebagai kunci sekiranya kunci bluetooth saya gagal atau tidak mempunyai kad kunci, cuma guna tangan,” katanya. 

Lebih menarik, apabila diluluskan cip itu juga boleh digunakan untuk melakukan  transaksi kad kredit. Brandon boleh memautkan kad kredit pada cip tersebut dan menggunakannya.

Apa yang akan terjadi sekiranya cip itu digunakan atau diakses secara tidak sengaja atau lebih buruk, digodam?. Brandon menjelaskan jarak pengimbasan bacaan cip berkenaan adalah dalam jarak yang sangat dekat.

Anda perlu berada dalam jarak beberapa milimeter. Ia adalah julat bacaan yang sangat pendek. Sama dengan Apple Pay menerusi telefon bezanya anda guna tangan,” jelasnya.

KOS TANAM CIP

Brandon berkongsi proses menanam cip keduanya itu hanya sekejap yang mana dia perlu membayar AS400 (RM1,795). 

“Ia tidak seteruk yang disangka orang. Memandangkan saya adalah penguji beta, saya mendapat cip itu pada harga AS300 (RM1,346) dan kemudian kos pemasangan hanya AS100 (RM448),” kongsinya.

Individu yang membantu memasukkan cip pada tangan Brandon merupakan penindik profesional lebih daripada 15 tahun. 

Menerusi perkongsian di akaun Twitter, Brandon menjelaskan cip itu tidak hanya boleh digunakan pada sebuah kereta. Aplikasi boleh menyelaraskannya dengan model Tesla masa depan yang menggunakan kad kunci. 

Jelasnya ketika video tersebut dirakam, cip berkenaan baru tiga hari ditanam dan masih ada kesan bengkak di tangannya.

“Kini ia dibaca dengan ketukan pantas pada tiang pintu,” katanya yang tidak mahu bimbang sekiranya terlupa kunci kereta.

Adakah memiliki dua cip pada anggota badannya bakal membuatkan Brandon ketagihan seperti mana individu yang mencacah tatu.

Brandon yang bekerja dalam bidang teknologi dan sentiasa cuba untuk menjadi yang paling canggih dalam segala-galanya tidak menolak kemungkinan berkenaan. 

“Bagi saya, ia sesuatu yang masuk akal pada masa itu. Ia seperti muslihat parti yang menyeronokkan,” katanya.

Brandon juga berkongsi sedang memantau satu cip yang tidak dinyatakan namanya. Namun peranti itu masih belum tersedia di Amerika.

Ia mengukur suhu badan yang mana satu kapsul dipasang di dada dan pemilik boleh mengimbasnya dengan telefon dan merekodkan suhu. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here