Dalam perjalanan ke AS, kapal perang UK berusia 5-tahun rosak di perairan selatan England

1409

Kapal terbesar United Kingdom (UK) rosak di perairan selatan, England dipercayai berpunca daripada kerosakkan aci pendorong (propeller shaft) sebaik berlepas menuju ke Amerika Syarikat (AS).

Kapal HMS Prince of Wales yang berusia lima tahun itu merupakan kapal pengangkut pesawat kedua Tentera Laut Diraja UK. Kapal tersebut dikatakan mengalami isu mekanikal berhampiran Isle of Wight, menurut jurucakap Tentera Laut Diraja UK.



Kejadian itu berlaku selepas kapal pengangkut bernilai £3 bilion (RM15.7 bilion) itu terpaksa menangguhkan pelepasannya pada hari Jumaat dari Pangkalan Tentera Laut Portsmouth, Hampshire susulan masalah teknikal.

Kini dilaporkan kapal perang seberat 65,000 tan itu berlabuh di selatan timur Isle of Wight ketika siasatan punca masalah itu dijalankan.

Jurucakap tentera laut diraja berkata HMS Prince of Wales masih berada di kawasan eksesais pantai selatan dan sedang menjalankan siasatan isu mekanikal yang muncul.

MASALAH ACI KIPAS

Sementara itu portal berita online, UK Journal Defence yang pertama kali melaporkan masalah itu mendakwa secara khusus kerosakan tersebut berkaitan dengan aci kipas kanan.

“Sumber memberitahu saya bahawa penyelam telah diturunkan untuk mengenalpasti masalah selepas menyedarinya di atas kapal dan sebaik mereka naik penyelam menyuarakan kebimbangan mengenai aci kipas kanan.

“Saya diberitahu bahawa aci itu sendiri nampaknya telah rosak, tetapi saya tidak percaya adalah wajar untuk mengulas sejauh mana kemungkinan kerosakan pada peringkat ini, memandangkan apa-apa kerosakan yang spesifik tidak dapat disahkan,” lapor portal tersebut. 

Satu lagi laman berita khusus ketenteraan, Navy Lookout melaporkan kapal pengangkut itu mengalami ‘kesalahan teknikal yang serius’.

Portal tersebut melaporkan informasi yang sama bahawa berlakunya kerosakkan pada kipas kanan dan menambah penyelam melakukan pemeriksaan kapal di bawah garis air.

Kapal perang tersebut bakal menyertai latihan membentuk masa depan jet stealth dan operasi dron di luar pantai Amerika Utara dan Caribbean.

Kapal perdana NATO akan menjalankan latihan dengan Tentera Laut AS serta Tentera Laut Diraja Kanada serta Kor Marin AS. Program itu dijangka melibatkan latihan dengan jet Lightning F-35B.

Pada hari pelepasan (Sabtu), kapal perang berkenaan menerima sambutan berwarna-warni ketika berlayar melepasi pengunjung di festival muzik Victorious di Portsmouth. 

Jurucakap Tentera Laut Diraja enggan mengulas punca pelepasan yang lewat sehari namun memberitahu ia tidak akan menjejaskan program. 

LATAR BELAKANG KAPAL

Pelbagai kerosakan dan pembaikan meningkatkan kos kapal tersebut menjadi £3.3 bilion (RM17.3 bilion). Kapal tersebut mula dibina pada 2011 dan dirasmikan pada 2017 serta memulakan servis menyertai angkatan tentera laut pada Disember 2019.  

Namun, pada Mei 2020 kapal tersebut mengalami banjir yang disifatkan Tentera Laut Diraja sebagai ‘kecil’ diikuti dengan masalah kebakaran sistem kawalan pada Oktober 2020 yang menyebabkan kerosakan pada kabel elektrik.

HMS Prince of Wales tersadai di limbungan kapal selama lapan bulan bagi baikpulih. Sepanjang tahun 2020 Prince of Wales berada di laut hanya 30 hari, berbanding 115 hari bagi kapal Queen Elizabeth.

Pada Oktober 2021, Tentera Laut Diraja mengisytiharkan kapal itu beroperasi sepenuhnya dan akan bersedia sepenuhnya untuk tugas barisan depan di seluruh dunia mulai 2023.

Kapal sepanjang 282 meter itu dilengkapi dengan dek seluas empat ekar iaitu sebesar tiga padang bola dan kemampuan membawa seramai 1,600 krew bagi operasi penuh. 

Kapal pengangkut dengan kelajuan 46kmj itu boleh membawa jet pejuang F35-B Lightning II bahkan jet yang disimpan di hangar bawah (sembilan dek) boleh diangkat ke atas dalam tempoh 60 saat.

Kapal tersebut dilengkapi dengan sistem senjata yang mampu menembak 3,000 peluru seminit dan radar jarak jauh yang mengesan sehingga 1,000 sasaran udara sejauh 250 batu nautika.

Selain itu, ia juga memiliki radar jarak sederhana 3D Artisan Type 997 yang boleh menjejaki sasaran sebesar bola dari jarak 19km.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here