Mungkin tidak ramai yang tahu tentang bangunan residensi yang menjadi kediaman rasmi Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman selama 13 tahun.
Di situ banyak tersimpannya peninggalan barangan peribadi milik Allahyarham di bangunan Residensi dan Memorial Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.
Menurut Harian Metro, susunan dan kedudukan barangan milik Allahyarham masih kekal sehingga kini yang menyimpan hampir 2,300 koleksi milik Perdana Menteri pertama Malaysia itu.
Di anjung pintu masuk diletakkan Cardillac Fleetwood (1959) yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman ketika menjadi Perdana Menteri. Kereta berwarna hitam itu dijaga rapi dan kondisinya masih bagus walaupun sudah berusia 63 tahun.
Berdasarkan pemerhatian kami di talian online nilai harga model Cardillac berkenaan kini mencapai hampir setengah juta ringgit Malaysia.
Cadillac Fleetwood merupakan model kereta mewah yang dikeluarkan oleh jenama Cadillac di bawah syarikat General Motors. Penggayaan badan Cadillac Fleetwood membuat kemunculan sulung pada 1957 dan diteruskan sehingga 1960.
Bagaimanapun semua kereta pada era itu akan mengalami perubahan penggayaan. Bagi model Cadillac 1959 menerapkan reka bentuk sirip roket yang mencuri perhatian dunia.
FLEETWOOD VARIAN ISTIMEWA
Model yang digunakan oleh Tunku Abdul Razak merupakan Cadillac Series Sixty Special Fleetwood (1959).
Sedan itu menggunakan enjin bersesaran 6,391cc V8 yang dilengkapi dengan karburator Carter AFB2814S 4-bbl. Ia menghasilkan kuasa 325hp @ 4,800rpm dan tork 583Nm @ 3,100rpm bersama transmisi automatik.
Kereta sedan empat pintu pacuan belakang itu didatangkan dengan konfigurasi enam tempat duduk yang mana pada bahagian depan boleh memuatkan dua penumpang di samping pemandu.
Cadillac Fleetwood memiliki saiz yang agak besar yang mana panjang 5,715mm, lebar (2,060mm), tinggi (1,428mm) dan jarak roda 3,302mm.
Jumlah pengeluaran kenderaan Cadillac pada tahun 1959 menurut portal Concept Carz dianggarkan 121,778 yang mana 12,250 disumbangkan model Fleetwood Series Sixty-Special
IKON DUNIA MENERUSI SIRIP ROKET
Model itu menjadi ikon yang tidak akan dilupakan dunia bahkan digelar sebagai “As the Standard of the World Turns” gara-gara penampilan sirip ekor yang tinggi di sisi belakang.
Bentuknya kelihatan seperti sebuah roket yang disematkan dua buah lampu belakang kiri dan kanan. Pada zaman berkenaan, Fleetwood Series Sixty-Special merupakan sedan termewah.
Sedan itu terkenal di seluruh dunia kerana keanggunan, dan kemewahan serta menawarkan ciri khas Cadillac. Ini adalah model yang paling menonjol dalam kalangan Cadillac lain.
Penampilan luaran menampilkan rekaan fender belakang baharu yang tersendiri dan penggunaan kemasan krom di beberapa bahagian badan.
Bagi model 1959, kemasan krom pada sisi badan berbentuk acah tombak dengan skop udara palsu di pintu belakang meningkatkan penampilan uniknya. Gril depan menampilkan dua baris lapisan krom yang dipisahkan satu garis bar yang mendatar.
Empat lampu depan dilengkapi dengan bingkai krom tebal manakala empat lampu di bahagian bawah yang diletakkan pada bampar berfungsi sebagai lampu isyarat membelok.
Bahagian kabin menggabungkan seleksi kemasan fabrik dan kulit selain tawaran fungsi kawalan tingkap berkuasa dan kerusi pelarasan elektrik.
14 MODEL BERBEZA
Cadillac menawarkan tidak kurang daripada 14 model berbeza dalam empat siri. Sedan Fleetwood Sixty Special adalah salah satu tawaran teratas dalam barisan empat pintu.
Sedan de Villes dan Series Sixty kedua-duanya datang dalam konfigurasi empat tingkap dan enam tingkap, versi empat tingkap mempunyai garis bumbung yang lebih formal dengan sekeping kaca panorama yang besar sebagai tingkap belakang.
Sedan enam tingkap didatangkan dengan hardtop, tetapi mempunyai tingkap belakang kecil yang lebih rendah. Satu-satunya model yang lebih eksklusif daripada Sixty Special ialah Fleetwood 75 Sedan dan limosin.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar