Pelumba Portugal, Miguel Oliveira menolak tawaran kontrak tiga tahun bersama pasukan GasGas Tech3 (KTM).
Oliveira sebelum ini tidak berpuas hati dengan tindakan pasukan Red Bull KTM yang mengarahkannya menyertai Tech3 sepasukan dengan Pol Espargaro selepas memilih Jack Miller dari Ducati dengan kontrak dua musim.
Oliveira sudahpun menolak posisi tersebut tetapi di Austria KTM beranggapan dia akan mengubah fikiran kerana pasukan GasGas akan menjadi pasukan rasmi sebenar.
Bahkan untuk lebih meyakinkan Oliveira mereka menawarkan kontrak tiga tahun. Sayangnya percaturan berkenaan tidak berhasil apabila pelumba itu ingin menunaikan janjinya dengan Aprilia.
Oliveira menyertai pasukan WithU RNF milik Datuk Razlan Razali menjelang musim perlumbaan 2023 nanti.
“Tech3 tidak pernah menjadi pilihan untuk saya. Saya ingin beritahu dengan jelas bahawa ia bukan mengenai pasukan atau individu.
“Saya memberitahu kepada Herve Poncharal (pemilik Tech3) sangat gembira sepanjang masa saya bersama mereka. Saya telah buktikan kemampuan saya bersaing dengan kelompok hadapan dan kini mereka hantar saya semula ke Tech3,” katanya.
RNF Racing dikatakan mengikat kontrak dengan Oliveira dua tahun, namun keputusan tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.
Ketika ini, RNF Racing sedang mencari pelumba baharu menjelang persiapan menghadapi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2023 selepas menamatkan kerjasama dengan Yamaha dan menyertai pengeluar jentera Aprilia musim depan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar