Royal Enfield Scram 411 – Segmen Urban Scrambler, harga bermula RM26,900

1200

Buat peminat motosikal segmen Urban Scrambler, ini berita baik untuk anda selepas DIDI Group selaku pengedar Royal Enfield di negara ini melancarkan model terbaharu Scram 411 edisi 2022.

Motosikal itu dikatakan sebagai subkategori baharu untuk Royal Enfield yang mana ia dibina menggunakan platform enjin LS-410 dan casis Harris Performance. Sekali imbas, ia hampir menyamai Royal Enfield Himalayan, tetapi ada perbezaannya.



Scram 411 adalah model baharu sesuai untuk tunggangan luar jalan dan bandar, yang mana ia menggunakan enjin 411cc, suntikan bahan api, 4-lejang SOHC.

Enjin itu menyalurkan kuasa maksimum 24.3bhp pada 6500rpm dan tork maksimum 32Nm antara 4000 sehingga 4500rpm yang memastikan penghantaran kuasa yang lancar.  Ia menggunakan kotak gear klac manual 5-kelajuan. 

Ia menggunakan suspensi hadapan teleskopik dengan fork 41mm dengan monoshock di belakang, sekali gus memastikan tunggangan yang stabil dan yakin dalam keadaan jalan yang berbeza-beza dan kasar. 

Kuasa hentiannya menggunakan brek By-Bre dengan cakera hadapan dan belakang digabungkan dengan ABS dwi-saluran.

Jentera itu menggunakan tayar dwiguna memastikan cengkaman yang yakin di atas tar dan di atas batu kelikir dengan menggunakan rim 19 inci di hadapan, manakala belakang 17 inci.

Tempat duduknya juga lebih selesa dan ergonamik, selain kedudukan hendal bar memberi pengalaman tunggangan dinamik serta menarik.

Apa yang menariknya, ia mempunyai tujuh pilihan warna dengan tiga varian. Selain itu, ia ditawarkan dengan pelbagai aksesori tambahan untuk memenuhi citarasa penggunanya.

Ini senarai harganya mengikut varian:

  • Premium: RM27,400
  • Mild: RM27,100
  • Base: RM26,900

Info Ringkas Royal Enfield Scram 411

  • Enjin: 411cc, silinder tunggal, penyejuk udara, SOHC
  • Kuasa Maksimum: 24.3bhp
  • Tork Maksimum: 32Nm
  • Kotak Gear: Lima kelajuan manual
  • Berat Tanpa Bahan Api: 185kg
  • Kapasiti Bahan Api: 15 liter

Galeri Gambar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here