UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mencipta rekod jualan baharu untuk Toyota bagi bulan Ogos 2022 sebanyak 8,961 unit, manakala 130 unit bagi Lexus.
Jualan keseluruhan bagi Ogos mencatatkan 9,091 unit (Toyota + Lexus), berbanding 6,637 unit (Toyota + Lexus) pada Julai 2022. Jumlah jualan bagi tahun ini setakat Ogos 2022 berjumlah 61,639 unit (Toyota + Lexus), berbanding 38,085 unit (Toyota + Lexus) pada tempoh sama untuk 2021.
Bagi model yang baharu, UMWT menerima 5,200 tempahan untuk Toyota Veloz yang dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi.
Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K berkata, pengenalan Toyota Veloz akan menjadi detik penting dan pihaknya yakin ia akan popular di kalangan rakyat Malaysia dengan tawaran premium yang bernilai untuk wang.
“Kami bekerja keras untuk menyediakan pakej yang sesuai untuk pelanggan. Ia adalah cara kami untuk mencapai ‘Extra Mile’ dengan memberi keutamaan dan perhatian yang tinggi kepada keperluan pelanggan melalui tawaran jualan dan selepas jualan,” katanya.
Sementara itu, UMWT mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan siri Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV) yang baru ditambah baik, Toyota Fortuner dan Hilux pada September dan Toyota Innova pada Oktober di semua cawangannya.
Sejak diperkenalkan pada 2016, ia diterima baik oleh pelanggan kerana kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaannya.
Sementara itu, tempahan untuk siri IMV bermula dari 1 September 2022 untuk semua model manakala Hilux dan Fortuner yang baru ditambah baik akan berada di semua cawangan Toyota pada September dan Toyota Innova menjelang Oktober.
Pada masa sama, sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia 2022, UMWT menawarkan pakej nilai tambahan kepada pelanggannya bernilai sehingga RM4,000 untuk varian terpilih bagi Vios dan Yaris.