“Biar kereta tak lawa, orang nak kutuk tu biasalah,” pemilik kongsi jimat banyak guna Axia

9646
Tidaklah salah mahupun ‘berdosa’ sekiranya anda memiliki impian untuk membeli kenderaan yang lebih besar dan selesa. 
 
Tetapi ukurlah baju di badan sendiri. Apabila memiliki sebuah kenderaan bukan sekadar bayaran bulanan namun anda juga perlu fikirkan kos lain misalnya minyak, tol, penyelenggaraan dan cukai jalan.
 
Walaupun memiliki gaji yang tinggi sebenarnya tidak salah bersederhana. Kenderaan hanyalah aset yang menggerakkan anda dari poin A ke poin B. 
 
Ini perkongsian seorang pengguna Facebook Ahmad Nizar Azham yang ditujukan khusus buat anak muda.
 
Dia mengatakan memilih Perodua Axia sebagai pengangkutan berulang alik ke tempat kerja dari Nilai ke Putrajaya sejauh 60km.
 
“Sebuah kereta kecil yang sangat jimat serba serbi. Minyak, komitmen bulanan, kos penyelanggaraan, roadtax dan lain-lain.
 
“Komitmen bulanan hanya RM250. Macam bayar motor sahaja, Alhamdulillah tak struggle bulan-bulan nak bayar sampai RM700-800 tu,” jelasnya.
 
Bahkan wang berkenaan juga boleh digunakan untuk keperluan yang lebih bermanfaat sama ada simpanan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) mahupun Tabung Haji atau pelan takaful.
 
“Orang nak kutuk tu biasalah. Dulu saya ingat lagi masa mula-mula saya bawa kereta ini di UUM kawan saya kata, ‘eh kereta kecik, tapi bila tuan badan keluar kereta badan besar, tak sesuai’, tapi rajin pula dia dok tumpang kereta saya lepastu,” ceritanya.
 
Selain itu, ada juga yang memerli ciri peralatan yang ditawarkan juga tidak banyak. Ini kerana Ahmad Nizar memilih varian Perodua Axia E 1.0 (manual).
 
“Dulu radio dia tak bagi, central lock dia tak bagi, alarm dia tak bagi, assist grip tak bagi. Kemudian saya buat semua tu kat luar kos tak sampai pun RM1k. Benda boleh jimat, kenapa nak membazir?. Orang nak kutuk biarlah. Kita bukan guna duit dia,” kongsinya. 
 
Gambar hiasan
Dia juga menasihati buat anak muda yang tamat pengajian di universiti agar tidak menghabiskan wang gaji membeli kenderaan hanya untuk kepuasan diri dan ‘dipandang’.
 
“Ada kereta mahal bukan petanda hidup anda berjaya. Jangan terikut-ikut dengan sekeliling. Selalu amalkan formula setahun gaji untuk tahu harga kereta yang sesuai untuk kita.
 
“Usah malu untuk guna kereta second hand pun atau cuma ada motor sahaja. Biar kereta tak lawa, janji kita tahu apa tujuan hidup kita. Fokus kumpulkan aset, bukan liabiliti. Sekarang zamannya untuk kita banyakkan simpanan,” katanya. 
 
Agar tidak membebankan di kemudian hari, anda perlu membuat kiraan jumlah gaji tahunan atau pastikan bayaran bulanan tidak lebih 15 peratus daripada gaji bersih. Boleh baca artikel ini.
 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here