Mazda henti menghasilkan kereta dengan enjin rotary selepas pengeluaran yang menjangkau tempoh lebih 45 tahun.
Enjin yang sudah menjadi ‘trademark’ jenama itu menguasakan satu-satunya jentera Jepun yang pernah memenangi perlumbaan Le Mans 24 Jam.
Menurut laporan, prestasi jualan yang lemah dan kos yang tinggi untuk memenuhi piawaian pelepasan moden menjadikan enjin rotary tidak ekonomik untuk dihasilkan.
Satu-satu pengeluar hasil enjin rotary
Berpangkalan di Horishima, Mazda mula memperkenalkan enjin rotary pada tahun 1967 dan menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan di dunia yang menghasilkan enjin jenis itu.
Enjin rotary mempunyai bahagian bergerak yang lebih sedikit dan lebih senyap berbanding enjin omboh, namun lebih mahal untuk dihasilkan dan menggunakan lebih banyak bahan api.
Keputusan Mazda untuk menghentikan pengeluaran enjin tersebut menunjukkan bagaimana cita rasa pengguna sudah berubah ke arah kenderaan ‘hijau’ daripada kenderaan sporty.
Jurucakap Mazda, Michiko Terashima berkata penyelidikan dan pembangunan enjin rotary akan diteruskan, sekali gus membuka kemungkinan bahawa ia boleh membuat kemunculan semula.
Pelepasan dan keselamatan tidak memenuhi piawaian
Bagaimanapun pengeluaran buat masa ini tidak masuk akal dengan mengambil kira kos untuk memenuhi piawaian keselamatan dan pelepasan untuk kenderaan baru, tambah beliau.
Mazda menjual hanya 2,896 buah RX-8 pada tahun 2010, dengan 1,245 unit daripadanya di Amerika Utara dan 963 unit di Jepun. Jualan kumulatif kenderaan Mazda dengan enjin rotary mencecah 1.995 juta unit setakat akhir Ogos, menurut jenama itu.
Ketua Eksekutif dan Presiden Mazda, Takashi Yamanouchi mengenang semula kejayaan enjin rotary yang digelar “ikonik” itu di Le Mans 20 tahun lalu, di mana jentera Mazda berjaya memotong Mercedes dalam tiga jam terakhir perlumbaan berstatus lagenda itu.
“Walaupun pengeluaran R-X akan berakhir, enjin rotary akan sentiasa menjadi lambang semangat Mazda, dan Mazda kekal komited terhadap pembangunannya yang berterusan,” katanya.