Gara-gara didakwa menipu pelabur, aset milik seorang pemuda warga Kanada yang menggelar dirinya sebagai “Raja Crypto” dirampas.
Aiden Pleterski didakwa menjalani hidup mewah dan memiliki 11 buah kenderaan namun setakat ini yang ditemui hanyalah Lamborghini, dua McLaren, dan dua BMW yang telah dirampas, lapor CBC Toronto.
Pihak pelabur memberitahu melabur sebanyak AS35 juta (RM160 juta) yang diberikan kepada syarikat Pleterski, AP Private Equity Limited hilang. Namun, buat masa ini hanya AS2 juta (RM9.2 juta) yang ditemui.
Sebanyak 29 pemiutang memfailkan petisyen prosiding muflis terhadap Pleterski yang mendakwa Raja Crypto itu berhutang hampir AS13 juta (RM59.5 juta) dengan mereka.
Ini termasuklah seorang nenek berusia 65 tahun yang melabur wang simpanan cucunya sebanyak AS60,000 (RM274,710).
Pengasas Penasihat Siasatan PC, Norman Groot memberitahu prosiding muflis merupakan satu-satunya cara pelabur mendapatkan kembali wang mereka. Sejak itu, akaun dan asetnya dibekukan.
Menurut laporan, dia menyewa sebuah rumah besar tepi tasik di Burlington, Ontario sebanyak AS45,000 sebulan dan sebelum ini membayar artikel promosi tentang dirinya di laman web penerbitan seperti Forbes di Monaco dan Daily Caller.
Peguam yang mewakili Pleterski memberitahu jumlah tuntutan terhadap anak guamnya ditokok tambah.
“Lebih mengejutkan, tiada siapa peduli untuk mempertimbangkan apa yang akan berlaku jika pasaran mata wang kripto menjunam atau sebagai seorang lelaki yang sangat muda, dia layak mengendalikan jenis pelaburan ini,” kata peguam Pleterski, Micheal Simaan.
Beliau menambah Pleterski memberi kerjasama terhadap petisyen berkenaan dan berharap dapat diselesaikan dengan cara adil bagi mereka yang terlibat.
Buat masa ini, dia tidak mempunyai pertuduhan jenayah tetapi sedang menghadapi prosiding kebankrapan dan dua tindakan undang-undang sivil.
Pemuda berusia 23 tahun itu mendakwa wang pelaburan klien mengalami kerugian dalam beberapa pusingan dagangan namun dikatakan masih belum mengemukakan bukti.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar