Rim rosak sebab jalan berlubang, pemuda ini menang tuntutan pampasan terhadap MPKj

1774

Seorang lelaki menang tuntutan pampasan ke atas sebuah majlis perbandaran tempatan selepas keretanya rosak akibat jalan berlubang.

Fahrurrazi Hamid membawa tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi empat rim dan dua tayar. 

Gambar hiasan

Mahkamah memerintahkan MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980 yang merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), ruang pelaras (RM180), dan caj tunda (RM200).



Kejadian berlaku pada September 2020 apabila Fahrurrazi memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman lalu keretanya melanggar lubang menyebabkan rim dan tayar kiri belakang keretanya rosak.

Keesokan harinya, dia terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580 selepas gagal mendapatkan rekaan rim lama. 

Gambar hiasan

Bagaimanapun dia hanya ditawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, syarikat insurans MPKj sebagai pampasan bagi kos seunit rim dan tayar. 

Selepas permintaan semakkan semula ditolak, dia membuat melaporkan isu tersebut di Tribunal Tuntutan Pengguna tetapi dimaklumkan pihak tribunal tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

Kemudian Fahrurrazi memfailkan tuntutan kecil di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung 15 Julai yang lalu. 

MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang Muhidin Mahmud menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti.

Beliau mendakwa, kejadian tersebut terjadi kerana pemanduan melulu Fahrurrazi seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak. Bahkan tuntutan penggantian empat unit rim tidak adil kerana hanya satu sahaja yang rosak.

Majistret Noor Firdaus Rosli memutuskan MPKj bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.

“Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang dan jalan tidak diselenggara dengan baik.

“Mengenai sama ada plaintif menyumbang kepada kerosakan itu, dapatan saya adalah negatif. Kejadian berlaku pada waktu malam, dan mana-mana orang munasabah tidak boleh diharapkan untuk menyedari dan mengubah haluan kenderaan mereka untuk mengelak lubang itu,” katanya. 

Mengenai hujah yang dikemukakan oleh MPKj bahawa wujud unsur pengayaan yang tidak adil dalam menggantikan keempat-empat rim, majistret berkata tidak masuk akal jika kereta boleh dipasang rim pelbagai rekaan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here