Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menumpaskan sindiket curi motosikal dikenali sebagai ‘Geng Apik Setan’ melalui Ops Lejang, baru-baru ini.
Dalam serbuan yang dilakukan pada 20 September lalu itu berjaya menangkap empat lelaki warga tempatan berumur 21 hingga 40 tahun dan tiga buah motosikal serta sebuah van Toyota Hiace putih.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, sindiket menggunakan van untuk mencuri motosikal yang mensasarkan model Honda C100, EX5, Wave serta Yamaha Y15, Lagenda dan Ego.
“Mereka menggunakan alat pemutar skru yang diubahsuai bentuk T dan jumlah kerugian dianggarkan RM60,000.
“Geng Apik Setan ini aktif sejak awal tahun 2022, mencuri motosikal yang diletakkan di parkir motor bangunan kedai dan kawasan sunyi,” katanya.
Menerusi tangkapan itu pihak polis berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal dan motor yang dicuri dihantar ke sempadan negara untuk dijual.
Menurut Utusan, van yang dirampas adalah milik sebuah syarikat swasta yang mana tempat kerja salah seorang suspek.
“Pemilik van iaitu tempat salah seorang daripada suspek bekerja tidak mengetahui van tersebut digunakan oleh suspek untuk mencuri motosikal dan dia juga memberi kerjasama kepada kita sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Semakan juga mendapati keempat-empat suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, curi dan sebagainya,.
Sebanyak 15 kerta siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar