Proton New Energy Technology (PRO-NET), anak syarikat pengeluar kereta nasional PROTON, yang mengendalikan kenderaan tenaga baharu bertukar dokumen perjanjian dengan Gentari Sdn Bhd, anak syarikat tenaga bersih PETRONAS, di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM).
Pertukaran dokumen dengan Gentari adalah langkah seterusnya yang diambil PROTON dalam usaha memasuki dan menyumbang kepada ekosistem dalam ruang EV dan NEV negara.
Pelan awal adalah membina 20 pengecas DC pada tahun 2023 di mana PRO-NET akan bertanggungjawab untuk menyediakan lokasi pengecasan dan kemudahan kuasa manakala, Gentari akan bertanggungjawab menyediakan infrastruktur pengecasan serta penyelesaian pengendali.
Selain daripada pembangunan infrastruktur pengecasan, PROTON bekerjasama dengan smart, melalui anak syarikatnya, untuk memastikan tawaran EV mereka sepadan dengan profil penggunaan pembeli EV di Malaysia.
Pada masa yang sama, syarikat itu juga melabur dalam mengembangkan pengetahuannya dalam bidang NEV dengan menghantar jurutera ke China untuk dilatih dalam semua aspek bidang tersebut.
Pertukaran dokumen dilakukan antara Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang dan Ketua Peralihan Penyelesaian Tenaga Bersih di PETRONAS bagi pihak GENTARI, Shah Yang Razalli.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang, Pengerusi Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Datuk Iskandar Abdul Samad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, YM Datuk Tengku Muhammad Taufik dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.
Sementara itu, Roslan berkata, pertukaran dokumen adalah sebahagian daripada langkah PROTON ke pasaran NEV dan membuka peluang untuk bekerjasama dengan anak syarikat tenaga bersih PETRONAS untuk menyumbang kepada pembinaan infrastruktur pengecasan di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, PROTON turut memberi perhatian kepada bidang lain untuk pasaran NEV supaya menyediakan satu pakej yang komprehensif.
“Sebagai contoh, sebagai jenama automotif nasional, PROTON harus menerajui pembangunan ekosistem EV di Malaysia dengan melabur dalam pengetahuan dan kepakaran untuk menangani bidang yang kami kurang berpengalaman,” katanya.