Tiada ‘lesen besar’ daripada mana-mana parti politik yang membolehkan mereka melakukan kesalahan modifikasi kenderaan bagi tujuan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada bulan depan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim berkata individu yang melakukan ubahsuai yang tidak menepati spesifikasi seperti ditetapkan Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) sebagai kenderaan komersial boleh dikenakan tindakan.
“Tindakan itu boleh diambil mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) iaitu salah guna permit dan melakukan modifikasi kenderaan.
“Ini kerana tiada lesen besar untuk mana-mana parti melakukan ubahsuai kepada kenderaan mereka pada musim PRU ini,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 402,626 kemalangan jalan raya dengan 4,379 kematian direkodkan bagi tempoh Januari hingga September lalu.
“Jumlah itu meningkat sebanyak 147,094 kes berbanding 255,532 kemalangan jalan raya dengan 3,324 kematian direkodkan bagi tempoh sama pada tahun lalu.
“Peningkatan ini susulan jumlah kenderaan berada di jalan raya meningkat pada tahun ink berbanding tahun lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19,” katanya.