Motor bertembung dengan kereta, warga Thailand maut

850

Seorang lelaki warga Thailand maut selepas motosikal yang ditunggangnya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Jerek, di Gua Musang, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, mangsa, Afnan Baha, 18 yang tinggal di Kampung Kuala Lah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Kampung Jerek untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Lah.



Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Insiden itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki warga emas yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa dipercayai tercampak ke atas cermin hadapan kereta sebelum melambung ke atas jalan raya,” katanya.

Menurut Choon Foo, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat.

Pemandu kereta berusia 72 tahun dan penumpang berusia 49 tahun dari Felda Perasu hanya mengalami cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here