Tiga buah kenderaan mewah bernilai RM940,000 dibawa lari di sebuah bengkel di Jalan Damansara, Kampung Bukit Lanjan, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asistem Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata pihak polis menerima laporan berkaitan pecah masuk bengkel berkenaan pada 29 Oktober jam 10.39 pagi.
“Pengadu lelaki Cina mendapati kesan pecah pada mangga pintu masuk dan beberapa kunci kereta turut hilang.
“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai masuk ke bengkel dengan cara memecahkan mangga pintu utama bengkel,” katanya.
Antara kenderaan yang dibawa lari ialah Mercedes Benz E200K berwarna perak, Toyota Land Cruiser (putih) dan Nissan Skyline GTR Prestige.
“Kesemua kenderaan yang hilang adalah milik pelanggan yang siap dibaiki dan belum dituntut dan rakaman CCTV masih dalam penelitian,” jelasnya.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan/395A Kanun Keseksaan.