Seorang lelaki menerima balasan serta merta selepas bertindak menendang kereta polis dalam kejadian di North Wales, United Kingdom.
Video ringkas berkenaan menunjukkan dua orang penunggang motosikal mendekati sebuah kereta peronda polis yang diparkir di jalan urban Wrexham.
Ketika penunggang skuter mendekati kereta berkenaan dia menendang cermin sisi kenderaan tersebut dengan kuat menggunakan kaki kanannya.
Tindakan vandalisme itu menyebabkan komponen berkenaan terkulai seolah dilanggar kenderaan lain.
Tetapi sepakkan yang cukup kuat itu menyebabkan dia hilang kawalan lalu tergelincir di atas jalan yang basah. Dia bernasib baik kepalanya tidak terhentak.
Selepas itu dapat dilihat dia cuba bangun dengan segera bimbang tertangkap sambil dibantu rakannya. Bagi menghilangkan bukti rakannya cuba mengutip komponen yang tertanggal lalu melarikan diri dari lokasi kejadian.
Polis North Wales meminta orang ramai untuk membantu mengenalpasti dua lelaki berkenaan terutamanya penunggang skuter.